4 beradik tiada kad pengenalan hadir ke JPN, kemuka salinan dokumen

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat beradik yang didakwa dihalang ke sekolah kerana tidak memiliki kad pengenalan, hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Khamis bagi mengemukakan bukti, termasuk salinan dokumen perkahwinan ibu dan bapa mereka.

JPN memaklumkan dalam perjumpaan itu, pemohon yang merupakan abang sulung kepada empat beradik tersebut iaitu Aziq Fadyan, 24, turut mengemukakan permohonan kewarganegaraan melalui kaedah Pengesahan Taraf Kewarganegaraan tanpa sokongan dokumen yang diperlukan.

Bagaimanapun, JPN mendapati beberapa butiran penting dalam salinan dokumen yang dikemukakan bagi permohonan tersebut gagal dibaca, kerana tidak jelas dan kabur.

"JPN telah menasihatkan pemohon, untuk mendapatkan pengesahan bertulis mengenai butir-butir perkahwinan ibu dan bapa beliau yang berlaku di luar negara, daripada kedutaan yang berkaitan terlebih dahulu.

"Setelah memperoleh pengesahan dan terbukti perkahwinan tersebut berlaku sebelum kelahiran mereka, pindaan taraf kewarganegaraan pada sijil kelahiran mereka boleh dibuat di JPN,” menurut JPN dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Kenyataan JPN itu memaklumkan empat beradik tersebut iaitu Aziq, berserta adik-adiknya Azreen Batrisya, 22, Azzahra Batrisya, 12, dan Azalea Batrisya, 9, turut dinasihatkan untuk mendapatkan seorang pemohon bertaraf warganegara, dalam membuat permohonan Pengesahan Taraf Kewarganegaraan bagi pihak mereka.

Namun, kenyataan itu memaklumkan bahawa pemohon enggan memberikan kerjasama terhadap nasihat tersebut.

"Justeru, adalah mustahil bagi JPN mempertimbangkan permohonan hanya berdasarkan salinan dokumen yang kabur dan tidak dapat dibaca butiran pentingnya. Adalah juga mustahil untuk individu yang belum bertaraf warganegara membuat permohonan kewarganegaraan, bagi adik-adiknya,” menurut kenyataan JPN.

Artikel Berkaitan:

JPN dalam kenyataan itu menegaskan bahawa setiap permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia yang dikemukakan, akan diterima dan diproses berdasarkan kelayakan pemohon dan ia mesti disokong dengan dokumen atau bukti berkaitan, tertakluk kepada peruntukan ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

"JPN komited untuk menyelesaikan kes ini, tertakluk mendapat kerjasama penuh daripada pemohon. Sebarang campur tangan dari ejen atau orang tengah boleh menyebabkan penyelesaian permohonan ini menjadi lewat,” menurut kenyataan itu.

Selasa lepas, media melaporan JPN meminta empat beradik berkenaan untuk hadir bagi membolehkan jabatan itu mendapatkan fakta dan status sebenar kes tersebut. - Bernama