Guru besar mengaku tidak salah rasuah

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang guru besar dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas sepuluh pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM8,032.30 pada 2021 dan 2022.

Tertuduh, Zailani Harun, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi memilih syarikat milik isterinya membekalkan barangan sekolah dan pejabat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah antara 10 Januari 2021 hingga 2 Julai 2022.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 untuk kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh merayu mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana sudah berkhidmat selama 33 tahun dan perlu menyara empat anak yang masih bersekolah selain menjaga ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 November depan sebagai sebutan semula dan lantikan peguam.