Saranan Ismail Sabri disambut baik

Laporan Sinar Ahad mengenai saranan Ismail Sabri.
Laporan Sinar Ahad mengenai saranan Ismail Sabri.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan ahli politik dalam negara wajar dipantau dengan teliti demi menjaga prestasi mereka dan imej negara menerusi pelaksanaan audit serta semakan berkala.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, cadangan pembentukan sebuah badan pengawasan bebas mampu untuk mengawal tingkah laku ahli politik serta kegiatan yang diceburi.

“Badan bebas ini juga perlu diberi kuasa mengambil tindakan disiplin terhadap mana-mana ahli politik yang melanggar peraturan disiplin atau peraturan sebagai ahli politik.

“Jika benar mempunyai semangat untuk membawa Malaysia ke hadapan, jangan terlalu fokus kepada tindakan dan retorik semata-mata,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Ahad sebelum ini melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah badan pengawasan bebas dan diberi kuasa untuk melaksanakan audit.

Ujarnya, ia termasuk semakan berkala terhadap tingkah laku pegawai awam khususnya ahli politik bagi memastikan mereka mematuhi standard yang telah dipersetujui dan diterima umum.

Dalam pada itu, Musa berkata, badan bebas tersebut perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencegah penyalahgunaan kuasa antara mereka serta rasuah.

Tambah beliau, ahli politik perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi yang baik dan mampu berbicara dengan jelas serta mendengar pendapat rakyat dengan teliti untuk memberi respons berkesan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan berkata, kerajaan dicadangkan agar melaksanakan audit secara berterusan kepada setiap kakitangannya bagi mengelakkan salah guna kuasa dan aktiviti rasuah sehingga memberi kesan buruk terhadap kedaulatan negara.

Tegasnya, tindakan itu penting bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pegawai kerajaan sekali gus memperbaiki tata kelola negara.

“Kerajaan perlu tegas dan berani melakukan pemantauan lebih terperinci serta bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap kakitangan terlibat salah laku ketika bertugas,” ujarnya.

Wan Azliana berkata, mana-mana pegawai termasuk pemimpin politik yang menerajui kementerian mahupun agensi kerajaan tidak seharusnya terlepas hukuman jika disabit kesalahan rasuah atau salah guna kuasa.

“Audit pegawai kerajaan mahupun ahli politik perlu dilakukan dengan lebih kerap dan berterusan termasuklah mengisytiharkan harta masing-masing bagi mengelakkan ketirisan wang atau salah guna kuasa,” tambah beliau.