Tun M persoal langkah kerajaan terus simpan rizab di AS

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan keperluan untuk terus menyimpan rizab negara dalam bentuk bon di Amerika Syarikat (AS), sedangkan pulangan yang diterima hanya sedikit.

Malah, beliau mempertikaikan langkah menyimpan wang begitu banyak sedangkan ia boleh digunakan untuk membayar hutang negara yang kini sudah melebihi RM1 trilion.

Katanya lagi, Malaysia terkenal mempunyai nilai rizab yang tinggi, tetapi tidak mempunyai strategi untuk menggunakannya bagi mengurangkan hutang negara.

“Selain daripada rizab yang disimpan di Bank Negara Malaysia (BNM) melebihi RM500 bilion, kita mempunyai aset pelaburan bernilai RM1 trilion di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lebih RM300 bilion di bawah pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB), lebih RM80 bilion deposit simpanan dengan Tabung Haji, dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pula mempunyai hampir RM150 bilion.

“Dan kita juga ada lebih daripada RM1 trilion dalam bentuk simpanan.

"(Namun) pada masa yang sama kita juga mempunyai kadar hutang yang tinggi dari zaman Datuk Seri Najib Tun Razak (sebagai Perdana Menteri), selain amaun tambahan dalam bentuk dana kerajaan untuk projek, subsidi, dan hadiah. Kita mempunyai terlampau banyak hutang,” katanya dalam catatan terbaharu di laman media sosial X beliau pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, kebanyakan simpanan Malaysia dilaburkan dalam bentuk bon di AS, dan sukar untuk mendapat balik simpanan itu kerana AS terkenal dengan reputasi tidak mahu memberi balik wang yang dideposit atau dipinjamkan kepada mereka.

Pada masa sama, beliau berkata, sejumlah besar dana kerajaan pula terpaksa digunakan untuk membayar semula hutang, dan akhirnya menyebabkan nilai defisit semakin meningkat sehingga mencecah beberapa bilion setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Dr Mahathir berkata, adalah sesuatu yang aneh jika kerajaan Malaysia terus menyimpan wang, sedangkan ia boleh digunakan untuk membayar hutang. - Awani