Kerajaan negeri, Persekutuan terus usaha jadikan Johor 'food bank'

Onn Hafiz (kanan), meninjau kempen Jualan Rahmah di pekarangan parkir HSI, pada Sabtu.
Onn Hafiz (kanan), meninjau kempen Jualan Rahmah di pekarangan parkir HSI, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Negeri Johor akan terus melaksanakan usaha bersama kerajaan Persekutuan bagi memastikan negeri berkenaan dapat dijadikan sebagai kawasan food bank (bank makanan).

Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pihaknya juga bakal mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu minggu hadapan berhubung perkara berkenaan.

Malah katanya, isu berhubung bekalan makanan juga akan diumumkan pada akhir November depan.

“Ia (bekalan makanan) semestinya satu perkara yang perlu diumumkan dan saya tengok ia perkara penting.

“Kita tengok bagaimana nak bantu dari segi food security (keterjaminan makanan) kerana dalam climate change (perubahan iklim) dan sebagainya kita berpendapat perkara ini tak akan hilang... ia akan berterusan,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian pada sidang akhbar ketika melawat Program Jualan Rahmah di parkir awam Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dan Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Tambah Onn Hafiz, Jualan Rahmah yang pertama kali diadakan di kawasan Hospital Sultan Ismail ini secara keseluruhannya bertujuan untuk menghargai dan memahami kos sara hidup dan kenaikan kos barang ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga buat (Jualan Rahmah) di beberapa kawasan, 16 lokasi sedang dilaksanakan dan meliputi semua kawasan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor untuk pastikan rakyat yang dalam kesusahan terus terbela, Insya-ALLAH,” katanya.

Sementara itu Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan terus memantau bagi memastikan bekalan makanan di Johor mencukupi.

Malah katanya, dengan subsidi serta bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri setakat ini ia dilihat membantu meringankan beban rakyat.

“Saya juga menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Johor yang baru-baru ini berkenaan mengurniakan 10,000 kampit beras dan insya-ALLAH dalam masa seminggu lagi sebanyak 10,000 kampit beras lagi akan disalurkan.

“Ini membuktikan semua pihak turun padang bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.