Lee Kah Choon letak jawatan sebagai Penasihat Khas Pelaburan - Kon Yeow

Kah Choon
Kah Choon
A
A
A

GEORGE TOWN - Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengesahkan Datuk Seri Lee Kah Choon telah meletak jawatan sebagai Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada 2 Oktober lepas.

Katanya, beliau telah menerima surat peletakan jawatan itu daripada Lee dengan notis sebulan, dan Kah Choon turut mengemukakan peletakan jawatannya sebagai ahli lembaga pengarah Invest Penang.

Beliau berkata, Kah Choon telah menyatakan kesediaannya untuk melepaskan mana-mana atau semua jawatan yang disandangnya iaitu ahli lembaga pengarah Invest Penang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Penang Hill Corporation.

"Bagi pihak kerajaan Pulau Pinang, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lee atas sumbangan besar beliau kepada pembangunan negeri Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

"Pada 26 September lepas, saya telah memaklumkan Datuk Seri Lee Kah Choon bahawa beliau telah digantikan sebagai pengarah PDC berikutan pelantikan baharu ke Lembaga Pengarah perbadanan itu dan beliau memahami situasi berkenaan," katanya sambil menambah bahawa Kah Choon memberitahunya, bahkan sebelum pilihan raya umum lagi bahawa Kah Choon ingin meluangkan masa untuk memberi tumpuan kepada soal peribadi.

Sementara itu, merujuk kepada penganugerahan projek Taman Perindustrian Byram kepada UMECH Construction Sdn Bhd, Chow berkata PDC telah menjalankan usaha wajar secara berterusan berdasarkan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat 28 November tahun lepas yang diadakan oleh jawatankuasa kecil.

Beliau berkata, PDC telah menjalankan siasatan rasmi ke atas pendaftaran syarikat, profil syarikat, pengalaman, dan UMECH dikehendaki mengemukakan dokumen sokongan kemudahan kredit daripada institusi kewangan sebagai bukti latar belakang kewangan syarikat.

"Lembaga Pengarah telah mengadakan mesyuarat untuk berbincang dan mendapatkan maklumat terkini mengenai projek itu pada 19 Ogos (2022), 28 Oktober (2022), 8 Disember (2022), 9 Februari (2023) dan 11 April (2023)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Chow menjelaskan mesyuarat lembaga pengarah PDC 5/2022 bertarikh 28 Oktober 2022 membuat keputusan bahawa UMECH perlu membuat pembentangan terperinci berhubung konsep pembangunannya kepada ahli lembaga pengarah semasa mesyuarat khas pada 28 November.

"Sehubungan itu, sesi pembentangan telah dijadualkan pada 28 November yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri I ketika itu Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri II ketika itu P. Ramasamy, Datuk Abdul Halim Hussain dan Datuk Seri Lee Kah Choon," katanya. - Bernama