Pengarah syarikat direman kemuka penyata bank palsu

Seorang pengarah syarikat (tengah) direman empat hari di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.
Seorang pengarah syarikat (tengah) direman empat hari di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat direman empat hari di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata bank mengandungi butiran palsu, empat tahun lalu.

Ia berhubung kerja-kerja perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan landskap sebuah bangunan kerajaan berjumlah lebih RM170,000.

Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman mengeluarkan perintah terhadap lelaki berusia 30-an itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang memakai baju lokap berwarna oren, ditahan pada jam 3.30 petang Selasa, ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek mengemukakan penyata bank yang mengandungi butir matan palsu bagi memenuhi syarat penilaian kewangan ketika menyertai perolehan secara sebut harga pada tahun 2019.

"Ini melibatkan kerja-kerja perkhidmatan pembersihan dan penyelenggaraan landskap sebuah bangunan berjumlah lebih RM170,000.

"Projek tersebut adalah bagi dua tahun bermula 2019," katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: