Polis tahan lelaki, teman wanita dera budak tujuh tahun

Rahmat. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian.
Rahmat. Gambar kanan: Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis menahan seorang lelaki dan teman wanitanya pada Jumaat kerana dipercayai terlibat mendera anak lelakinya yang berusia tujuh tahun sejak kira-kira enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek lelaki berusia 37 tahun, manakala teman wanitanya berusia 39 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Pulai Jaya, Skudai di sini.

"Mereka direman selama seminggu bermula Jumaat sehingga esok. Tindakan ini diambil susulan laporan polis yang diterima pada jam 4.13 petang Jumaat lalu.

"Seorang pengadu yang juga seorang wanita memaklumkan menerima maklumat bahawa kanak-kanak itu berada dalam bilik air dalam keadaan kurus serta tidak bermaya.

"Pengadu juga menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, penderitaan kanak-kanak lelaki itu yang didera sejak enam bulan lalu berakhir selepas disedari pengadu yang juga jirannya sebelum diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.

Menurut Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, M Caren Nantheny, 46, mangsa tinggal bersama bapa kandung dan teman wanitanya itu serta anak wanita berkenaan yang berusia tiga tahun.

Caren berkata, pihaknya dan Persatuan Penduduk India Kangkar Pulai kemudian meminta bantuan pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas suspek tidak memberikan kerjasama apabila mereka mahu melihat keadaan mangsa pada malam Khamis sebelum kedua-duanya diberkas pada petang Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rahmat berkata, pihak polis kemudian membawa kanak-kanak itu ke balai polis dan pengadu turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Rahmat berkata, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan tidak bersekolah dan tinggal bersama bapa kandungnya serta teman wanita bapanya.

"Terdapat kesan dipukul terhadap tubuh badan mangsa, juga kesan pukul yang lama. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak 2001," ujar beliau.

Sementara itu, Caren berkata, pihaknya menerima tujuh aduan berkenaan kes penderaan kanak-kanak dan wanita sejak awal tahun sehingga kini.

"Ini kes yang diadukan kepada pihak kami, difahamkan ada banyak kes yang tidak dilaporkan kepada NGO kami ataupun pihak polis. Ada juga kes selepas dilaporkan kepada pihak polis tetapi tidak diteruskan kerana tidak mahu meneruskan proses atau prosedur seterusnya kerana dianggap rumit," katanya.

Beliau berkata, mana-mana pihak terutama isteri yang didera perlu tampil ke depan membuat laporan di balai polis bagi mendapatkan pembelaan dan keadilan serta tidak sewajarnya berdiam diri.

Orang ramai atau mangsa penderaan katanya, boleh menghubungi 911 atau Talian Kasih 15999 iaitu khusus untuk membantu mereka yang menghadapi masalah sosial berkaitan kebajikan, penderaan, kaunseling, pembuangan bayi, masalah sosial remaja, perkhidmatan kesihatan reproduktif dan perlindungan kepada yang memerlukan.