Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi harian

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup tinggi pada Selasa, seiring dengan prestasi lebih baik yang dicatatkan bursa serantau, selepas mengambil petunjuk daripada pergerakan Wall Street yang optimis dalam tempoh semalaman.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.17 mata untuk berakhir pada paras tertinggi harian 1,444.13 daripada 1,438.96 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 0.08 mata lebih tinggi kepada 1,439.04 dan mencecah paras terendah 1,438.95 ketika sesi pagi sebelum memperoleh momentum untuk meningkat selepas itu.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 439 berbanding 353, manakala 504 kaunter tidak berubah, 1,045 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.67 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 3.09 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Isnin.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI ditutup tinggi sedikit didorong aktiviti pembelian semasa harga murah selepas penjualan semalam.

Beliau berkata, indeks serantau utama turut ditutup tinggi selepas mengambil petunjuk daripada isyarat positif ekuiti global dalam tempoh semalaman.

Selain itu, percubaan diplomatik untuk mengekang pengembangan konflik Israel-Hamas daripada menjadi perang berskala lebih luas juga telah memberi kesan yang agak positif ke atas sentimen pelabur, katanya.

Artikel Berkaitan:

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dijadual mengadakan lawatan ke Israel, bertujuan mengekang konflik daripada memuncak manakala Setiausaha Negara, Antony Blinken juga kembali ke Israel untuk pertemuan dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, susulan perbincangan dengan kerajaan Arab, katanya.

"Di peringkat domestik, kami menjangkakan sentimen pasaran kekal berhati-hati ekoran turun naik dan ketidaktentuan global yang semakin ketara.

"Justeru, kami mengunjurkan indeks penanda aras terus berada dalam corak mendatar, dan mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI pada 1,430 hingga 1,450 sehingga terdapat pemangkin baharu. Dari sudut pandang teknikal, kami menetapkan paras rintangan serta-merta pada 1,460 dan sokongan pada 1,430,” katanya kepada Bernama.

Bagi pasaran serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.12 peratus kepada 3,167.64; Nikkei 225 Jepun melonjak 1.20 peratus kepada 32,040.29; Kospi Korea Selatan menokok 0.98 peratus kepada 2,460.17; Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.75 peratus kepada 17,773.34, dan SSE Komposit China menambah 0.32 peratus kepada 3,083.50.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi Bursa, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing meningkat dua sen kepada RM9 dan RM7.50; Public Bank menambah satu sen kepada RM4.18; Tenaga Nasional menokok tiga sen kepada RM9.98 manakala CIMB mendatar pada RM5.61.

Antara saham aktif, Minox yang baru disenaraikan di Pasaran ACE naik 12 sen kepada 37 sen; Kanger International dan Sarawak Consolidated masing-masing menambah satu sen kepada 12 sen dan 52 sen; manakala Asdion dan Top Glove masing-masing menokok 1.5 sen kepada 7.5 sen dan 75 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 33.82 mata kepada 10,692.88; Indeks FBMT 100 menambah 32.99 mata kepada 10,357.58; Indeks FBM Emas Syariah melonjak 50.88 mata kepada 10,929.55; Indeks FBM 70 naik 27.42 mata kepada 14,217.68 dan Indeks FBM ACE menokok 35.95 mata kepada 5,153.14.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 16.69 mata kepada 16,244.62; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.33 mata kepada 175.67; Indeks Tenaga susut 0.29 mata kepada 882.17 dan Indeks Perladangan meningkat 63.08 mata kepada 6,889.24.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.40 bilion unit bernilai RM1.58 bilion daripada 1.98 bilion unit bernilai RM1.73 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran susut kepada 305.12 juta unit bernilai RM36.0 juta daripada 332.86 juta unit bernilai RM41.44 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 972.12 juta saham bernilai RM304.17 juta daripada 755.45 juta saham bernilai RM213.0 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 214.02 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (336.21 juta); pembinaan (126.36 juta); teknologi (113.27 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (68.18 juta); hartanah (165.33 juta); perladangan (26.09 juta); REIT (11.44 juta); dana tertutup (6,200); tenaga (118.21 juta); penjagaan kesihatan (98.57 juta); telekomunikasi dan media (46.98 juta); pengangkutan dan logistik (39.67 juta); serta utiliti (37.04 juta). - Bernama