Bursa Malaysia ditutup rendah seiring sentimen serantau

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama susut 5.18 mata kepada 1,438.96 daripada 1,444.14 pada akhir dagangan Jumaat lepas. - Foto hiasan
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama susut 5.18 mata kepada 1,438.96 daripada 1,444.14 pada akhir dagangan Jumaat lepas. - Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan lebih rendah, seiring prestasi bursa serantau lain yang suram ketika sentimen berhati-hati terus ketara berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang menjejaskan minat pelabur.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama susut 5.18 mata kepada 1,438.96 daripada 1,444.14 pada akhir dagangan Jumaat lepas.

Indeks penanda aras pasaran itu yang dibuka menokok 1.22 mata pada 1,445.36, turut bergerak dalam jajaran 1,436.5 hingga 1,446.12 sepanjang sesi dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 597 berbanding 284 manakala 451 kaunter lain tidak berubah, 1,022 tidak diniagakan dan 24 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.09 bilion unit bernilai RM1.92 bilion daripada 3.22 bilion unit bernilai RM1.80 bilion pada Jumaat lepas.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, prestasi pasaran tempatan turut diasak oleh tekanan jualan yang ketara rantau ini berikutan konflik di Timur Tengah yang merencatkan selera pelabur.

Malah, beliau berkata, konflik Israel-Palestin itu turut memberi kejutan terhadap pasaran minyak, sekali gus memburukkan lagi ketidaktentuan akibat jangkaan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat serta prospek ekonomi global yang hambar.

"Bagi pasaran tempatan misalnya, sentimen berhati-hati lebih menguasai berikutan senario tidak menentu di pasaran global.

Artikel Berkaitan:

"Namun, kami masih melihat penilaian terhadap FBM KLCI kekal menarik dan pelabur menganggapnya sebagai masih ada potensi,” katanya kepada Bernama.

Pak Leng berkata, aliran corak perdagangan di indeks petunjuk utama itu berkemungkinan menyaksikan indeks itu memasuki fasa konsolidasi sehingga pemangkin baharu muncul.

Susulan itu, katanya, FBM KLCI dijangka diniagakan sekitar 1,430 hingga 1,450 pada minggu ini, termasuk sokongan segera pada 1,430 manakala paras rintangan pada 1,460.

Sementara itu, faktor sama turut menyebabkan pasaran serantau utama berada dalam wilayah negatif.

Indeks Straits Times Singapura misalnya turun 0.69 peratus kepada 3,163.89, Nikkei 225 Jepun susut 2.03 peratus kepada 31,659.03, Indeks Hang Seng Hong Kong menguncup 0.97 peratus kepada 17,640.36 manakala Indeks Komposit SSE China merosot 0.46 peratus kepada 3,073.81.

Di pasaran tempatan, saham-saham wajaran tinggi menyaksikan CIMB rugi lima sen kepada RM5.61, Tenaga berkurangan tujuh sen kepada RM9.95, IHH Healthcare turun satu sen kepada RM5.95 manakala Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM8.98 dan RM4.17.

Bagi saham aktif, Classita turun satu sen kepada enam sen, Asdion sebaliknya untung tiga sen kepada enam sen, Compugates naik setengah sen kepada 1.5 sen manakala Widad, KNM dan Sarawak Consolidated masing-masing tidak berubah pada 55 sen, 11.5 sen dan 51 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 35.88 mata kepada 10,659.06, Indeks FBMT 100 kehilangan 32.29 mata kepada 10,324.59, Indeks FBM 70 berkurangan 23.15 mata kepada 14,190.26, Indeks FBM ACE turun 27.76 mata kepada 5,117.19 manakala Indeks FBM Emas Syariah merosot 46.8 mata kepada 10,878.67.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Produk Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.9 mata kepada 175.34, Indeks Tenaga menambah 5.1 mata kepada 882.46, Indeks Perladangan susut 36.57 mata kepada 6,826.16 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 36.25 mata kepada 16,227.93.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.98 bilion unit bernilai RM1.73 bilion daripada 1.94 bilion unit bernilai RM1.55 bilion pada Jumaat lepas.

Perolehan waran sebaliknya susut kepada 332.86 juta unit bernilai RM41.44 juta berbanding 371.45 juta unit bernilai RM49.13 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 755.45 juta saham bernilai RM213.0 juta daripada 895.89 juta saham bernilai RM195.28 juta sebelum ini.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 476.84 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (408.49 juta); pembinaan (209.39 juta); teknologi (104.6 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (74.88 juta); hartanah (273.65 juta); perladangan (39.56 juta); REIT (8.86 juta), dana tertutup (2,000); tenaga (215.05 juta); penjagaan kesihatan (52.07 juta); telekomunikasi dan media (33.64 juta); pengangkutan dan logistik (46.97 juta) serta utiliti (31.89 juta). - Bernama