Bursa Malaysia ditutup rendah susulan pengambilan untung

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia ditutup rendah pada Khamis susulan aktiviti pengambilan untung, sejajar dengan prestasi lemah di bursa serantau lain ekoran penurunan mendadak di Wall Street pada Rabu dan peningkatan ketegangan konflik di Timur Tengah, kata seorang peniaga.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.88 mata kepada 1,442.66 daripada paras penutup 1,446.54 pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka rendah turun 3.28 mata kepada 1,443.26 dan bergerak antara paras 1,441.34 dan 1,445.18 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 509 berbanding 337, manakala 457 kaunter tidak berubah, 1,048 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.07 bilion unit bernilai RM2.02 bilion daripada 3.41 bilion unit bernilai RM2.71 bilion pada Rabu.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI ditutup rendah sedikit hari ini berikutan kekurangan pemangkin baharu dan ditambah dengan para pelabur yang kekal dengan pendekatan berhati-hati berikutan prestasi tidak menentu pasaran ekuiti serantau dan global.

Beliau berkata, Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jualan besar-besaran membayangkan kemungkinan kenaikan kadar bagi tempoh yang lebih mana, manakala pergolakan di Timur Tengah terus menjejaskan sentimen pelabur

"Di pasaran tempatan, indeks petunjuk pasaran kekal berada dalam fasa penstabilan apabila para pelabur terus mengambil pendekatan berhati-hati berikutan perkembangan semasa.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu kami menjangkan FBM KLCI diniagakan tidak berubah dalam jajaran 1,440-1,450 menuju ke hujung minggu. Dari sudut teknikal, paras rintangan dan sokongan kekal tidak berubah masing-masing pada 1,460 dan 1,430," katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura susut 1.16 peratus kepada 3,100.37, Nikkei 225 Jepun turun 1.91 peratus kepada 31,430.62, Indeks Hang Seng Hong Kong jatuh 2.46 peratus kepada 17,295.89, SSE Composite China berkurangan 1.74 peratus kepada 3,005.39 dan Kospi Korea Selatan susut 1.90 peratus kepada 2,415.80.

Di pasaran tempatan, dalam kalangan saham wajaran tinggi Public Bank jatuh lima sen kepada RM4.12, Petronas Chemicals susut 17 sen kepada RM7.48 dan Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM9.98, manakala Maybank dan CIMB menokok satu sen setiap satu masing-masing kepada RM8.96 dan RM5.58.

Dalam kalangan kaunter cergas, Icon turun dua sen kepada 11 sen, MyEG susut 1.5 sen kepada 79 sen dan Kanger jatuh setengah sen kepada 11.5 sen, bagaimanapun Widad naik setengah sen kepada 56.5 sen dan Systech meningkat empat sen kepada 53 sen.

Sementara itu, Bursa Malaysia mengumumkan hari ini jualan singkat di bawah jualan singkat harian (IDSS) bagi saham AirAsia X Bhd (AAX) (5238) telah digantung bagi tempoh berbaki hari ini apabila harga terakhir diniagakan bagi sekuriti diluluskan itu jatuh 15 peratus daripada harga rujukan.

Jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan esok pada pukul 8:30 pagi.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 32.31 mata kepada 10,641.44, Indeks FBMT 100 susut 32.28 mata kepada 10,314.28, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 38.51 mata kepada 10,909.56, Indeks FBM 70 jatuh 63.65 mata kepada 14,015.50 manakala Indeks FBM ACE naik 34.07 mata kepada 5,105.90.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.66 mata kepada 174.88 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 24.55 mata kepada 16,141.29, Indeks Tenaga jatuh empat mata kepada 874.69 manakala Indeks Perladangan meningkat 9.92 mata kepada 6,938.30.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.86 bilion unit bernilai RM1.71 bilion daripada 2.34 bilion unit bernilai RM2.44 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 429.41 juta unit bernilai RM49.53 juta berbanding 337.33 juta unit bernilai RM42.81 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menokok kepada 762.42 juta saham bernilai RM255.71 juta daripada 716.30 juta saham bernilai RM230.41 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 282.98 juta saham diniagakan di Papan Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (338.12 juta); pembinaan (145.17 juta); teknologi (163.93 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (71.24 juta); hartanah (281.43 juta); perladangan (26.41 juta); REITs (16.16 juta), dana tertutup (43,400); tenaga (321.80 juta); penjagaan kesihatan (43.22 juta); telekomunikasi dan media (32.58 juta); pengangkutan dan logistik (92.58 juta); dan utiliti (41.46 juta). - Bernama