Buli doktor: KKM tidak teragak-agak ambil tindakan

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak berkaitan dengan insiden buli dalam kalangan warga Kementerian Kesihatan (KKM).

Tegasnya, KKM mengambil maklum tinjauan yang dibuat oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkenaan kes buli yang melibatkan pengamal perubatan sektor awam dan swasta.

"Saya menyeru kepada semua petugas kesihatan untuk melaporkan aduan mereka melalui sistem MyHELP yang sememangnya telus dan mempunyai tahap kerahsiaan yang tinggi," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) yang telah ditubuhkan sebelum ini sentiasa mengadakan libat urus dengan KKM dalam memastikan kesihatan mental dan kebajikan warga kementerian sentiasa terpelihara.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa KKM memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan isu buli dalam kalangan petugas kesihatan serta akan terus komited memastikan perkara seperti ini tidak berlaku di fasiliti kesihatan seluruh negara," ujarnya.

Sebelum ini, Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz mendedahkan sebanyak 30 hingga 40 peratus pengamal perubatan melaporkan pernah mengalami beberapa bentuk buli.

Data tersebut berdasarkan tinjauan kaji selidik melibatkan 728 pengamal perubatan sektor awam dan swasta bermula pada 15 September hingga 1 Oktober 2023.

Sebanyak 253 kes buli telah dilaporkan dalam kaji selidik itu dengan yang tertinggi dilaporkan di Sarawak iaitu 15 kes, Selangor (9) dan Perak (8).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun 197 adalah dari negeri yang tidak diketahui.

Berdasarkan tinjauan itu, Sabah dan Melaka tidak mempunyai kes buli yang disahkan namun ia tidak bermakna tiada sebarang kes.