KDA FC intai syarikat tempatan tawar hampir 50 peratus saham?

Pemain KDA FC giat menjalani latihan di Stadium Darul Aman. - Foto Facebook KDA FC
Pemain KDA FC giat menjalani latihan di Stadium Darul Aman. - Foto Facebook KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC didakwa sedang berusaha mendapatkan penajaan baharu agar dapat terus bersaing dalam Liga Malaysia walaupun dilihat sedikit tercorot pada musim ini.

Tersingkir awal saingan Piala FA dan Malaysia, namun berada di kedudukan ketiga Liga Super 2023 dan berada pada landasan untuk merebut naib juara Liga Super musim ini, KDA FC dilihat masih berpeluang menempah slot ke pentas Asia musim depan.

Tular di media sosial, KDA FC kini sedang mengintai sebuah syarikat tempatan untuk menawarkan saham kelab tersebut, kemungkinan untuk membiayai kos operasi kelab yang mencecah RM30 juta setahun.

Difahamkan, skuad Sang Kenari sedang cuba menjalin kerjasama dengan Kumpulan DSAT Sdn Bhd yang berpangkalan di ibu negara.

Berdasarkan memo yang dikongsikan di media sosial, usaha tersebut dibuat selepas KDA FC menghantar sekeping surat kepada Pengerusi Kumpulan Eksekutif syarikat berkenaan, Datuk Seri Azizul Tandek.

Surat KDA FC yang tular di media sosial.
Surat KDA FC yang tular di media sosial.

Surat berkenaan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali dengan pengetahuan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Menerusi surat berkenaan, Khamal yang mewakili ahli Lembaga Pengarah dan pemegang saham Darulaman Football Club Sdn Bhd selaku pemilik KDA FC menawarkan penjualan saham kelab sebanyak 49.06 peratus dengan harga tawaran RM15 juta.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya syarikat berkenaan bersetuju dengan tawaran tersebut, persetujuan secara bertulis perlu dikemukakan kepada Darulaman Football Club Sdn Bhd sebelum 30 September lalu.

Sebelum ini, tular di media sosial mendakwa penaja utama syarikat antarabangsa Bin Zayed International yang berpangkalan di Dubai dikhabarkan ‘menarik diri’ biarpun menandatangani kerjasama itu pada Februari lalu.

Pemain skuad kendalian Nafuzi Zain itu juga didakwa berdepan masalah tunggakan gaji sehingga tiga bulan.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada pengurusan KDA FC, namun belum beroleh sebarang penjelasan berhubung isu tular.