Perintah Kawalan Pergerakan di ESS ZONE mulai 6 petang esok - KPN

Bermula jam 6 petang Selasa, Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE Sabah No.1 akan berkuat kuasa. - Gambar hiasan, gambar kecil: Razarudin
Bermula jam 6 petang Selasa, Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE Sabah No.1 akan berkuat kuasa. - Gambar hiasan, gambar kecil: Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESS ZONE) yang berakhir pada Selasa dilanjutkan dan dijenamakan semula.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bermula jam 6 petang Selasa, ia akan diganti kepada Perintah Kawalan Pergerakan ESS ZONE Sabah No.1.

"Ia bagi menyambung Perintah Berkurung Sabah No. 220 yang akan tamat jam 6 petang esok (Selasa). Perintah kawalan pergerakan ini adalah diperlukan bagi memastikan kawasan perairan itu tidak diceroboh atau diancam," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Razarudin berkata, pelaksanaannya akan menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah di kawasan ESS ZONE.

"Polis Diraja Malaysia memberi jaminan tahap keselamatan di Sabah kekal terkawal dan akan memastikan segala langkah diambil bagi membanteras sebarang insiden jenayah rentas sempadan, penculikan atau penyeludupan," katanya.

Razarudin berkata, perintah berkurung telah mula dilaksanakan pada 16 Julai 2014 di kawasan perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan bagi menangani masalah pencerobohan serta mengekang ancaman pengganas Sulu/ penculikan oleh kumpulan 'kidnapping for ransom' (KFR) di kawasan pantai timur perairan Sabah.

"Mengambil kira keperluan keselamatan, perintah berkurung ini seterusnya telah diperluaskan untuk meliputi perairan Tawau, Kinabatangan serta Beluran.

"Setelah penilaian keselamatan terkini dibuat, Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan Sabah dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bersetuju untuk menjenamakan semula perintah berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan ESS ZONE Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Perintah kawalan pergerakan ini akan melibatkan kawasan perairan sama, kecuali Tawau memandangkan statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah serta kawalan keselamatan di perairan daerah tersebut yang memuaskan," katanya.