Berusia 10 tahun, ESSCom kekal relevan jaga keselamatan Pantai Timur Sabah

ESSCom ditubuhkan pada 1 April 2013, selepas pencerobohan pengganas Sulu dalam Tragedi Lahad Datu pada 12 Februari 2013. - Foto Bernama
ESSCom ditubuhkan pada 1 April 2013, selepas pencerobohan pengganas Sulu dalam Tragedi Lahad Datu pada 12 Februari 2013. - Foto Bernama
A
A
A

LAHAD DATU - Bagi pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi melihat sendiri operasi agensi itu hari ini amat bermakna, membuktikan kepentingannya menjaga dan memastikan keselamatan Pantai Timur Sabah.

Komander ESSCom, Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, agenda lawatan Al-Sultan Abdullah, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke ESSCom menterjemahkan kesungguhan dan keprihatinan Seri Paduka terhadap keselamatan dan kedaulatan negara terpelihara.

"Seri Paduka merupakan tubuh Malaysia dan Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong, dalam tempoh 10 tahun ini belum pernah tubuh negara Malaysia berangkat ke ibu pejabat ESSCom, kami cukup gembira dengan peluang ini sudah tentu Lahad Datu ini cukup dekat di hati Seri Paduka.

"Kehadiran Seri Paduka di ESSCom juga akan menjadi kenangan indah, pengalaman yang tidak dilupakan. Secara peribadi ini hadiah yang cukup bermakna buat saya dan anggota saya dalam usaha kita memastikan keselamatan di sini,” katanya kepada Bernama.

ESSCom ditubuhkan pada 1 April 2013, selepas pencerobohan pengganas Sulu dalam Tragedi Lahad Datu pada 12 Februari 2013 yang mengorbankan 10 anggota keselamatan negara dan 68 pengganas Sulu.

Lahad Datu merupakan antara lokasi persinggahan rombongan Yang di-Pertuan Agong dalam jelajah Kembara Kenali Borneo yang bermula hari ini dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak pada 13 September, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Victor berkata, keselamatan rakyat dan keamanan di Pantai Timur Sabah, khususnya Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), yang dicapai hasil usaha ESSCom bersama semua pihak adalah bukti jelas bahawa agensi itu kekal relevan dan usaha itu diharap dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

Beliau berkata, kesiapsiagaan ESSCom menghadapi pelbagai cabaran diterjemahkan pasukan keselamatan menerusi kejayaan menangani penculikan atau sebarang elemen jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan di sekitar kawasan operasi.

Artikel Berkaitan:

"Pergerakan strategik pasukan ATM, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di ESSZone berjaya menggagalkan pelbagai percubaan mengganggu-gugat keselamatan di kawasan terlibat,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, cubaan penjenayah rentas sempadan melakukan kegiatan misalnya penculikan untuk wang tebusan di ESSZone sentiasa ada berikutan kewujudan 'spotter' (pemerhati bagi kumpulan penculikan) yang memiliki pertalian kekeluargaan di negara ini dan negara jiran.

"Spotter ini dia juga dapat habuan tetapi ESSCom juga berusaha menumpaskan sebarang cubaan penculikan, tiga perkara yang dilakukan ESSCom iaitu memperkukuhkan tindakan-tindakan operasi, perkukuh risikan dan sumber risikan selain menjalin kerjasama strategik bersama komuniti ESSZone.

"Tiga perkara ini akan sentiasa diperhebat bagi mengekang jenayah rentas sempadan termasuk penculikan untuk wang tebusan, komuniti ESSZone juga memainkan peranan penting menjadi 'mata dan telinga' pasukan keselamatan,” katanya.

Victor berkata, sejak penubuhannya, ESSCom melalui Bahagian Tindakan Awam mengadakan pelbagai program melibatkan komuniti ESSZone bagi menguar-uarkan betapa pentingnya memiliki jati diri yang tinggi selain mengelakkan rakyat daripada menjadi tali barut pengganas.

Selain itu, katanya, ESSCom juga kini sedang berusaha meningkatkan pemahaman orang ramai serta pelancong asing mengenai keselamatan di ESSZone yang terjamin dengan adanya ESSCom selain membantu penduduk yang memerlukan.

"Selepas program jelajah Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri ini, kita (ESSCom) bahagian awam merancang untuk mengadakan program bersama komuniti dengan kerjasama agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan bagi meningkatkan sektor pelancongan,” katanya. - Bernama