ESSCom banteras salah guna bot pam untuk aktiviti jenayah

Anggota ESSCom memeriksa bot pam di perairan Tawau menerusi Operasi Gasak Laut yang dilaksanakan pada Selasa.
Anggota ESSCom memeriksa bot pam di perairan Tawau menerusi Operasi Gasak Laut yang dilaksanakan pada Selasa.
A
A
A

TAWAU - Usaha membanteras penyalahgunaan bot pam terus dipergiat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menerusi Operasi Gasak Laut yang dilaksanakan di Tawau pada Selasa.

Komander ESSCom Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, ESSCom komited membanteras penyalahgunaan bot pam digunakan untuk aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Menurut Victor, susulan itu ESSCom telah mengkoordinasikan Operasi Gasak Laut (bot pam) di sekitar perairan Batu 3 sehingga Batu 5 di daerah ini.

"Operasi ini bagi membendung penyalahgunaan bot pam yang sering digunakan penjenayah rentas sempadan untuk aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan ESSZone.

"Hasil operasi itu, sebanyak 13 bot pam diperiksa, melibatkan 26 individu dan lima daripadanya dirampas serta diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

"Turut ditahan empat pendatang asing tanpa izin (Pati) dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen Malaysia) Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut," katanya selepas operasi itu.

No Image Caption

Victor berkata, operasi kali ini menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran dengan menahan dan melupuskan bot pam tanpa lesen.

"Tindakan ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan jenayah rentas sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan Pati.

"Selain itu, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen cegah rintang dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan Tawau khasnya.

"Sehubungan itu, saya menasihatkan kepada semua pemilik bot pam di perairan ESSZone supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelak tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

"Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat di ESSZone agar terus membantu ESSCom dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan bot pam ke Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072, " katanya.

Sebelum itu, operasi terbabit dilaksanakan secara bersepadu melibatkan 96 pegawai dan anggota oleh jabatan dan agensi penguatkuasaan serta keselamatan Persekutuan dan Sabah.