PDRM akan wujudkan pasukan dron di Lahad Datu

Hazani ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Media ESSCom Bersama Pengamal Media di Kota Kinabalu.
Hazani ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Malam Media ESSCom Bersama Pengamal Media di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mewujudkan satu pasukan khas untuk mengendalikan dron secara tetap di Lahad Datu bagi memantapkan lagi 'respon team' Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, perkara itu telahpun dibincangkan bersama Komander ESSCom Deputi Komisioner Victor Sanjos dalam satu pertemuan baru-baru ini.

"Saya sudah bincang dengan Komander, saya memutuskan untuk menempatkan pasukan di Lahad Datu.

"Pasukan Polis Marin (PPM) akan membawa dron itu dan jika ada kecemasan berlaku, dron diterbangkan dan barulah respon team dikoordinat oleh ESSCom," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Malam Media ESSCom Bersama Pengamal Media di sini, pada Khamis.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Deputi Komisioner Shahurinain Jais.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM melalui Pasukan Gerakan Udara (PGU) mempunyai kemahiran untuk memberi latihan bagi menempatkan pasukan yang akan mengendalikan dron di Lahad Datu.

"Saya cuba tempatkan satu dron di Lahad Datu di bawah PGU. Kita ada kemahiran dan terdapat seorang pegawai kita mempunyai kelayakan sebagai salah satu tenaga pengajar yang diiktiraf di peringkat dunia, jadi tidak ada masalah.

"Kita akan latih dan di peringkat awal kita sertakan dengan PPM di Lahad Datu bersama dengan ESSCom," jelasnya.

Ditanya mengenai pandangan kerajaan negeri yang mahu penggunaan pesawat tanpa udara (UAV) diperkasakan, Hazani berkata, pihaknya terbuka mengenainya.

"Kalau kerajaan negeri berikan sokongan, boleh ambil UAV. UAV memerlukan lapangan terbang, tetapi dron ini Pelepasan dan Pendarat Menegak (VTOL), jika dilepaskan ia terbang naik dan jika terputus hubungan pun dia akan kembali semula," katanya.

Sementara itu, Victor ketika ditanya pemberita mengenai keyakinan pelancong di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), beliau berkata data yang dikumpul daripada resort sekitar kawasan berkenaan berlaku peningkatan sehingga 80 peratus.

"Kalau saya lihat data yang kita kumpul dari resort-resort, meningkat 80 peratus dan ini satu petunjuk yang begitu bagus untuk Sabah terutama di pantai timur.

"Malah kebelakangan ini mengikut data yang kita kumpul jumlah pelancong asing yang datang ke kawasan ESSZone begitu tinggi berbanding pelancong tempatan.

"Saya berpendapat selepas menganalisis data ini, kepercayaan dan kekukuhan sistem pertahanan terutama di ESSZone dipercayai dan rakan media juga perlu menghebahkan bagi menjernihkan pemikiran rakan di luar bahawa tahap keselamatan di ESSZone sangat selamat," katanya.