40 kes penculikan untuk wang tebusan berjaya ditumpaskan

Saifuddin Nasution. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution. - Foto Bernama
A
A
A

TUARAN - Sebanyak 40 kes penculikan untuk wang tebusan (KFR) sejak 2017 sehingga tahun ini berjaya ditumpaskan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, Eastern Sabah Security Command (ESSCom) telah diwujudkan melibatkan tugas kawalan keselamatan secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

"Sebanyak 6,473 pemeriksaan terhadap orang, kenderaan dan premis telah dilaksanakan oleh ESSCom. Daripada pemeriksaan tersebut, 107 orang ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan kes pendatang asing tanpa izin, dadah dan penyeludupan.

"Sejak 2017 sehingga 2023, sebanyak 40 kes KFR telah berjaya ditumpaskan sama ada ditangkap dan ditembak mati melibatkan juga kumpulan Abu Sayyaf (ASG)," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra di Pusat Latihan Rela Sabah, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, penubuhan ESSCom telah meningkatkan tahap keselamatan di ESSZone dan kesannya dapat dilihat daripada peningkatan pelancongan yang memberangsangkan.

"Dianggarkan seramai 156,363 pelancong asing telah memasuki lima destinasi pelancongan ESSZone iaitu Kudat, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna berdasarkan rekod kemasukan pelancong dari Januari hingga September 2023," katanya.

Sehubungan itu, bagi memastikan Sabah dalam keadaan selamat dan terkawal beliau berkata, usaha meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat turut dilakukan melalui pemerkasaan kawalan sempadan.

"Antaranya ialah penambahan pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan pedalaman di Sabah iaitu di Pagalungan, Nabawan dan Kinabatangan.

"Pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bantul, Pagalungan dan pembinaan Kompleks Perumahan Dan Bangunan Pentadbiran Batalion 20 PGA, Beluran.

"Selain itu, pembangunan Projek Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah Fasa 2 di Area Control Centre (ACC) Sandakan dan Remote Sensor Site (RSS) di Pulau Malawali Banggi Kudat, pembinaan pangkalan Maritim Malaysia Semporna dan pembinaan Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul, Semporna," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kerajaan telah melaksanakan inisiatif secara rintis pemindahan kanak-kanak warga asing dari depot imigresen ke penempatan khas sementara yang dikenali sebagai Baitul Mahabbah.

"Kanak-kanak berusia di bawah 10 tahun di bawah pengurusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditempatkan di Baitul Mahabbah sehingga proses dokumentasi oleh kedutaan negara masing-masing selesai dan sedia untuk dihantar pulang ke negara asal.

"Projek rintis ini adalah di Nilai, Negeri Sembilan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 telah meluluskan sebanyak RM10 juta Baitul Mahabah ini akan diperluaskan lagi di Sabah dan Sarawak.

"Untuk Sabah, Baitul Mahabbah di Papar berfungsi sebelum akhir tahun ini. Inisiatif ini pastinya akan memberi manfaat daripada segi kepada kebajikan tahanan serta menaikkan reputasi Malaysia di pentas antarabangsa dalam pengurusan tahanan serta hak asasi manusia," katanya.

Artikel Berkaitan: