Ahli keluarga Jamal al-Durrah pula mati dibom Israel

Dua saudara kandung Jamal maut dalam serangan udara Israel di Gaza pada Ahad. Gambar paling kanan memaparkan Muhammad, mati di pangkuan Jamal semasa ditembak tentera Israel 23 tahun lalu. - Agensi
Dua saudara kandung Jamal maut dalam serangan udara Israel di Gaza pada Ahad. Gambar paling kanan memaparkan Muhammad, mati di pangkuan Jamal semasa ditembak tentera Israel 23 tahun lalu. - Agensi
A
A
A

GAZA CITY - Rakaman video memaparkan Jamal al-Durrah melindungi anak lelakinya, Muhammad di sebalik tong besi sudah ditonton jutaan kali.

Kejadian pada pagi 30 September 2000 itu berlaku semasa hari kedua intifada al-Aqsa, menyaksikan dua beranak itu terperangkap selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin di Genting Gaza yang bangkit menentang pendudukan rejim Zionis.

Rayuan Jamal supaya tentera Israel berhenti melepaskan tembakan tidak dipedulikan, sambil Muhammad yang ketakutan berlindung di belakang bapanya.

Dua beranak itu ditembak bertubi-tubi, menyaksikan Muhammad meninggal dunia di pangkuan bapanya, manakala Jamal terselamat namun cedera parah dalam insiden yang berlaku di persimpangan Netzarim itu.

Selepas 23 tahun berlalu, Jamal sekali lagi kehilangan orang tersayang apabila kali ini adik-beradiknya pula maut dalam serangan udara Israel pada Ahad.

Sebuah video yang dimuat naik di platform X pada Isnin menyaksikan Jamal dalam keadaan tenang mengusap dua jenazah dibalut kain putih di hadapannya.

"Semoga ALLAH memudahkan segala urusan kepada kamu berdua.

"Semoga bertemu di syurga, selamat tinggal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kematian anak lelaki Jamal lebih dua dekad lalu telah menjadi simbol Intifada Kedua dan membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Namun, sehingga ke hari ini, Jamal tidak menerima keadilan yang sewajarnya di atas kematian anaknya.

Malah, tiga hari selepas pembunuhan tragis itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan angkuh mengatakan tenteranya melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Tidak lama lepas itu, IDF menafikan mereka terlibat dan menuduh kematian Muhammad disebabkan tembakan oleh pihak Palestin sendiri.

Siasatan Israel pada 2013 pula membuat keputusan bahawa rakaman tersebut palsu.

Sebelum itu, pengamal media dan ahli politik Perancis, Philippe Karsenty juga mendakwa bahawa yang video tersebut adalah rekaan semata-mata.

Saluran France 2 yang tidak berpuas hati dengan tuduhan liar itu kemudian membawa kes tersebut ke mahkamah.

Pada 2013, Mahkamah Perancis memihak kepada France 2 dan mendenda Karsenty sebanyak 7,000 euro (RM34,809) kerana memfitnah.

Difahamkan, pembunuhan dua beranak itu dirakam wartawan France 2 yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian.

Insiden itu dirakam jurukamera, Talal Abu Rahma dan dilaporkan oleh Charles Enderlin. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!