Hujan bom terangi Gaza

Api daripada letupan roket Israel menerangi kawasan penempatan di Gaza.
Api daripada letupan roket Israel menerangi kawasan penempatan di Gaza.
A
A
A

GAZA - CITY - Apabila matahari terbenam, ramai penduduk di Genting Gaza tidak dapat melelapkan mata dan kerap terjaga kerana dicengkam ketakutan.

Satu-satunya cahaya yang mereka lihat adalah datangnya dari serangan udara yang menghujani Gaza dan bunyi letupan kuat sehingga menyebabkan mereka berjaga sepanjang malam.

Sejak Selasa lalu, penduduk Gaza bergelap selepas Israel memotong bekalan elektrik dan bahan api sebagai hukuman kolektif susulan serangan mengejut Hamas.

“Malam di Gaza amat menakutkan. Keadaan amat gelap dan kamu tidak nampak apa-apa.

“Setiap kali kamu hendak tidur atau berjalan, sentiasa ada gegaran,” kata Omar Alnajjar yang tinggal di Gaza.

Tambah Omar, beberapa jam sebelum matahari terbit, Israel meningkatkan julat serangan dan peluru berpandu rejim Zionis jatuh beberapa meter dari bangunan kediamannya tanpa sebarang amaran.

“Seramai 11 jiran saya mati syahid akibat serangan tersebut.

“Sekarang, kawasan tempat tinggal saya dipenuhi bau belerang bom Israel,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam tempoh 24 jam lalu, seramai 2,215 orang terbunuh di Gaza manakala dianggarkan 8,714 lagi cedera. Angka kematian dijangka meningkat dari masa ke masa.

Imej satelit menunjukkan keadaan Gaza yang bergelap selepas Israel memutuskan bekalan elektrik dan bahan api.
Imej satelit menunjukkan keadaan Gaza yang bergelap selepas Israel memutuskan bekalan elektrik dan bahan api.

Tiada tempat untuk berlindung

Menurut Omar, seramai 38 orang bersesak-sesak tinggal di rumahnya, termasuk 13 kanak-kanak dan 15 wanita.

Menurutnya, tiga daripada ahli keluarganya kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka berhampiran sempadan Gaza musnah akibat dibedil Israel.

Kata Omar lagi, seluruh isi rumah berada dalam keadaan berjaga-jaga dan mengetahui kematian boleh datang pada bila-bila masa.

“Saya menghabiskan waktu siang dengan mencari makanan dan air bersih atau mendengar radio.

“Bukan mendengar lagu sebaliknya mendengar berita sekiranya terdapat apa-apa perkembangan mengenai gencatan senjata,” katanya.

Alih tumpuan anak saudara

Pemuda berusia 26 tahun ini berkata, jika dia tidak keluar mencari bekalan makanan dan air bersih, dia akan menghabiskan masa dengan bermain bersama anak-anak saudaranya sambil mengharap mereka akan melupakan seketika realiti serangan udara Israel.

“Saya mengalih tumpuan anak-anak saudara dengan bermain dengan mereka, adakalanya membuat suara dan bunyi-bunyian yang lucu.

“Kadang-kadang saya mengajak anak-anak saudara bermain beberapa permainan kad hanya untuk membiarkan mereka melupakan bunyi letupan bom,” katanya.

Tetapi Omar mengakui, dia tidak akan membiarkan anak-anak saudaranya melupakan terus bunyi pengeboman kerana itulah bukti kekejaman dan penindasan rejim Zionis.

Ditanya bagaimana dia sendiri menguruskan ketakutan semasa pengeboman Israel, Omar menjawab: “Saya cuba menjauhkan diri daripada emosi dan kekal dalam mod survival.

“Saya tahu ia tidak sihat, tetapi jika kita masih mendengar bunyi bom, itu bermakna kita masih hidup.” - Agensi