Belanjawan 2024: JPSM sambut baik usaha pemeliharaan biodiversiti, hutan

Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Mohd Ridza
Gambar hiasan - Foto 123RF, gambar kecil: Mohd Ridza
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan sebanyak RM200 juta menerusi Belanjawan 2024 melibatkan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam meningkatkan kawasan perlindungan hutan di negara ini. Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Mohd Ridza Awang berkata, jumlah yang diperuntukkan ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM50 juta berbanding Belanjawan 2023.

"Saya menyambut baik dan mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 berkaitan penyediaan peruntukan EFT bagi tujuan pemeliharaan biodiversiti dan hutan. "Peruntukan EFT telah mula diperkenalkan kerajaan pada tahun 2019 dan sejak itu dapat dilihat jumlah peruntukan yang disediakan meningkat dari tahun ke tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, peruntukan itu akan diagihkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kepada semua kerajaan negeri mengikut kriteria-kriteria tertentu yang telah ditetapkan. "Harapan saya agar peruntukan yang bakal disalurkan kelak akan dimanfaatkan sebaiknya oleh semua kerajaan negeri dalam usaha pemeliharaan biodiversiti dan hutan.

"Ia juga diharap mengikut skop aktiviti dan perbelanjaan yang ditetapkan selaras dengan matlamat kerajaan dalam menyediakan insentif ini," katanya. Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) akan ditingkatkan kepada RM200 juta pada tahun depan berbanding RM150 juta tahun ini menerusi Belanjawan 2024.

Langkah ini sebagai menyokong usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan peratusan kawasan perlindungan hutan dan melindungi hidupan liar terancam. Selain itu, Anwar turut mengumumkan bilangan renjer komuniti juga akan ditambah kepada 2,000 orang berbanding 1,000 orang tahun ini bagi meningkatkan penguatkuasaan di kawasan hutan simpan kekal.

Artikel Berkaitan: