Tamadun Sungai Batu mampu jadi destinasi pelancongan bersejarah

Antara monumen ritual yang dijumpai di tapak Tamadun Awal Sungai Batu. Muhammad Sanusi (kanan).
Antara monumen ritual yang dijumpai di tapak Tamadun Awal Sungai Batu. Muhammad Sanusi (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Tamadun Sungai Batu berpotensi dijadikan destinasi pelancongan bersejarah dan wajar dipromosikan sebagai produk pelancongan baharu. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Jabatan Warisan Negara diharap dapat memperuntukkan dana mempromosikan Sungai Batu menerusi bajet pelancongan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024.

Menurutnya, biarpun tapak arkeologi berkenaan berada dalam negeri Kedah, namun ia dimiliki oleh Jabatan Warisan Negara. “Kita ada tempat-tempat menarik lagi yang boleh diterokai seperti Sungai Batu bawah Jabatan Warisan Negara, mereka boleh bantu promosikan tapak tersebut sebab tanah milik mereka.

“Jika Jabatan Warisan Negara beroleh bajet (dalam Belanjawan) mereka boleh promosi untuk popularkan Sungai Batu sebagai destinasi pelancongan tapak tamadun awal Asia Tenggara, 700 tahun Sebelum Masihi berkaitan industri besi,” katanya di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, Anwar mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM250 juta bagi mempromosikan sektor pelancongan menerusi Belanjawan 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat. Dalam pada itu, Sanusi berharap peruntukan RM250 juta berkenaan dapat diagihkan sama rata sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan di negeri ini.

“Semua negeri berharap agar peruntukan tersebut diagihkan sama rata. Saya difahamkan Kedah menyumbang sebanyak RM8 bilion kepada sektor pelancongan negara, jadi kenalah belanja balik untuk kemudahan itu,” ujarnya. Mengulas mengenai keperluan pelancongan di Langkawi, Sanusi berkata, isu utama yang harus ditangani ialah masalah pengangkutan feri yang didakwa menrencatkan pemulihan industri pelancongan pulau legenda itu selepas pandemik Covid-19.

“Kita dapat rungutan tentang kekerapan feri berkurang. Harap Kementerian Pengangkutan (MOT) dapat ambil tindakan. Perlu ada kerjasama antara Kementerian Pelancongan dan MOT untuk selaraskan. “Masalahnya ada pengusaha feri yang bila untung (feri) jalan, tak untung tak jalan, tak bolehlah macam itu,” katanya.

Sanusi tegaskan, sektor pelancongan Langkawi tidaklah merudum seperti didakwa, cuma mengalami pemulihan secara perlahan. “Langkawi tak merudum sangat. Seluruh dunia baru nak pulih selepas Covid-19, kalau kita pernah catat kunjungan 3.2 juta kedatangan pelancong di Langkawi, saya percaya ia sedang dalam proses pemulihan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!