DOF Selangor tingkat spesies asal ikan baung

Aisyah (tengah) ketika hadir program pelepasan 10,000 benih ikan baung di Empangan Sungai Bernam, Hulu Selangor pada Jumaat.
Aisyah (tengah) ketika hadir program pelepasan 10,000 benih ikan baung di Empangan Sungai Bernam, Hulu Selangor pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor melepaskan 10,000 benih ikan baung di Empangan Sungai Bernam dekat sini pada Jumaat. Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, program tahunan ini bertujuan untuk memulihara, meningkat dan menjamin kelestarian sumber perikanan bagi meningkatkan sumber pendapatan nelayan darat dan menyokong serta menjadi pemangkin kepada industri perikanan rekreasi.

Menurutnya, program ini adalah susulan daripada Program Pelepasan Benih Ikan Asli serentak satu Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record (MBOR) selepas melepaskan sebanyak 1.1 juta benih ikan asli. "Ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat untuk bersama memelihara sumber ikan asli bagi membolehkan ekosistem sentiasa berada dalam keadaan sihat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah Noraisyah, sejak 2018 sehingga kini, DOF Selangor telah melepaskan sebanyak 1.3 juta benih ikan asli ke perairan umum di negeri ini. "Sebanyak 55 peratus daripada jumlah itu melibatkan pelepasan benih udang galah dan selebihnya adalah dari spesies ikan lampam sungai, baung, terbui, jelawat, kelah, tengas dan patin," ujarnya.

Aisyah melihat antara spesies ikan asing iaitu baung ekor merah yang ditangkap di Sungai Bernam, Hulu Selangor pada Jumaat. Baung ekor merah seberat 15 kilogram yang dinaikkan penduduk kampung di Empangan Sungai Bernam, Hulu Selangor pada Jumaat.
Aisyah melihat antara spesies ikan asing iaitu baung ekor merah yang ditangkap di Sungai Bernam, Hulu Selangor pada Jumaat. Baung ekor merah seberat 15 kilogram yang dinaikkan penduduk kampung di Empangan Sungai Bernam, Hulu Selangor pada Jumaat.

Mengulas lanjut, program yang berlangsung dua hari di Empangan Sungai Bernam telah bermula dengan aktiviti pemburuan baung ekor merah iaitu spesies ikan pendatang yang melibatkan penyertaan nelayan serta penduduk kampung. "Keseluruhan ikan baung ekor merah seberat kira-kira 50 kilogram (kg) telah ditangkap di mana paling berat ialah bersaiz 15 kg," katanya.

Tambahnya, jabatan amat gusar apabila melihat peningkatan populasi ikan asing di dalam perairan umum terutamanya ikan baung ekor merah. "Apabila populasi ikan asing ini berkembang, ia akan menjadi semakin dominan di dalam perairan negara serta berbahaya kerana ikan ini bersifat agresif dan invasif hingga boleh menggantikan habitat ikan tempatan di dalam sungai.

"Maka ikan tempatan seperti lampam sungai, terbui dan banyak lagi ikan yang tidak agresif termasuk udang galah akan pupus," katanya. Justeru, DOF meminta agar semua pihak tidak melepaskan spesies asing yang boleh membahayakan ekosistem perairan negara.

Artikel Berkaitan: