Lapan empangan berisiko ancam keselamatan penduduk

Empangan Kenyir - Foto Bernama
Empangan Kenyir - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Lapan empangan di seluruh negara disahkan mengalami kerosakan yang boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda.

Perkara itu dimaklumkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) menerusi hasil pemeriksaan Pasukan Flying Squad antara tahun 2021 dan 2022.

Empangan tersebut ialah Empangan Muda dan Ahning di Kedah, Empangan Jor dan Mahang (Perak), Empangan Sultan Abu Bakar (Pahang), Empangan Babagon (Sabah), Empangan Bakun (Sarawak) dan Empangan Kenyir (Terengganu).

Sehubungan itu NRECC memaklumkan, sebanyak RM135.82 juta diperlukan untuk membaik pulih dan menyelenggara yang perlu disediakan oleh pemilik empangan.

"Hasil pemeriksaan menemukan pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan (seepage), kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.

"Malah Empangan Chereh di Pahang dan Empangan Kenyir di Terengganu turut mengalami kerosakan yang agak teruk dan perlu dipulihkan segera," menurut kementerian itu menerusi kenyataan pada Isnin.

NRECC memaklumkan, kerajaan Persekutuan bersedia menimbang untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan sekiranya terdapat keperluan mendesak.

Ini kerana katanya, kerajaan memberi perhatian serius akan risiko kegagalan struktur empangan seperti yang berlaku di Libya, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"NRECC bercadang meneruskan fungsi Flying Squad untuk membuat pemeriksaan ke atas empangan-empangan lain, terutama yang berusia lebih 50 tahun.

"Struktur dan tanggungjawab pasukan itu juga akan diperkukuhkan kepada struktur tetap yang dikenali sebagai Dam Technical Centre (DTC)," jelasnya.

Pasukan Flying Squad merupakan struktur ad-hoc yang diselaraskan Bahagian Bekalan Air (BBA) NRECC dengan keahlian pakar daripada pelbagai jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta pihak swasta.

Pemeriksaan empangan mengguna pakai garis panduan pemeriksaan keselamatan empangan yang dibangunkan JPS iaitu Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS).