Baitul Mahabbah, Mekar antara program ditambah baik KDN

Saifuddin Nasution - Foto Bernama
Saifuddin Nasution - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah baik dan memperkasakan inisiatif-inisiatif di bawahnya seperti Baitul Mahabbah dan Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) menerusi peruntukan Belanjawan 2024 yang diterima sebanyak RM19.066 bilion. Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian itu akan memperintis Baitul Mahabbah iaitu penyediaan penempatan sementara kanak-kanak daripada pusat tahanan imigresen dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Menurutnya, program Mekar yang menawarkan perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui sebahagian peruntukan daripada RM26 juta yang diumumkan turut akan diteruskan.

“RM20 juta pula bagi meningkatkan kefungsian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam membanteras jenayah dan peruntukan dengan jumlah yang sama sebagai Geran Pertubuhan Madani untuk memberi manfaat penduduk setempat. Selain itu, sebuah agensi tunggal sempadan negara (Single Border Agency) diwujudkan dan RM20 juta disediakan bagi menyelenggara serta memperoleh harta modal atau aset di pintu-pintu masuk antarabangsa negara.

“Pembinaan tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh di Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning dan Pulau Sebatik di Sabah serta kerja awalan pembinaan dua Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Nabawan dan Kalabakan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, aset-aset perairan ditambah melibatkan sembilan kapal ronda generasi baharu, bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), perolehan tujuh pesawat dan lima helikopter ringan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Seterusnya, peruntukan RM10 juta diberikan sebagai usaha memperkasakan Program Peluang Kedua Anda (Peka) oleh Jabatan Penjara bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada pesalah yang akan tamat hukuman melalui penyediaan latihan kompentensi.

“Kementerian ini juga akan memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia melalui penambahbaikan kemudahan Pas Penggajian bagi pelabur strategik, Lawatan Sosial dan dokumen izin masuk (Visa On Arrival) untuk menggalakkan kemasukan pelancong.

“Tahap kecekapan perkhidmatan awam melalui pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) sebagai platform pengesahan diri yang lebih dipercayai juga dipertingkatkan,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah Saifuddin Nasution, sebahagian daripada peruntukan RM2.4 bilion bagi pembinaan kuarters melibatkan anggota polis dan penjawat awam manakala RM5 juta bagi penambahan bilangan anjing K9 untuk pencegahan jenayah serta dadah.

“Selain itu, pelantikan renjer komuniti dalam kalangan veteran PDRM untuk meningkatkan penguatkuasaan hutan simpan dalam menangani pencerobohan dan pembalakan haram.

“Penyediaan ganjaran disediakan kepada agensi penguatkuasa termasuk PDRM sebagai menghargai komitmen dalam membanteras ketirisan hasil negara.

“Pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pula bagi membolehkan penagih menerima rawatan tanpa dipenjarakan,” ujarnya.