'Ada warga asing kuasai pusat hiburan'

Rusdi Mohd Isa.
Rusdi Mohd Isa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan pusat hiburan yang dikuasai oleh warga asing susulan serbuan terhadap empat premis berkenaan, di sini, awal pagi, Ahad.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dalam serbuan itu, seramai 38 lelaki warga asing ditahan termasuk pengurus dan pekerja.

"Pengurus dan penolong pengurus serta pekerja pusat hiburan itu adalah warga Bangladesh dan pelanggan juga majoritinya dari negara sama, hanya 10 pelanggan warga tempatan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, di sini pada Isnin.

Rusdi berkata, perkara itu ada kaitan dengan kehadiran warga asing di Malaysia.

"Mereka sudah menjadi pengurus, jadi penolong pengurus, jadi GRO (pelayan pelanggan) dan jadi pelanggan kepada tempat mereka sendiri (pusat hiburan diuruskan warga asing)," katanya.

Rusdi berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut tentang kewujudan sebarang unsur pemerdagangan orang terutama membabitkan 34 wanita yang disyaki sebagai pelayan pelanggan (GRO) yang diperiksa dalam operasi itu.

"Perkara ini (semakan) ini akan mengambil sedikit masa, kita mendapati mereka semua mempunyai dokumen perjalanan yang sah namun pada masa sama, kita juga buat semakan lanjut dengan Jabatan Imigresen," katanya.

Rusdi berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan tindakan tegas terhadap pusat hiburan yang didapati melanggar peraturan dan undang-undang.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) harus bertanggungjawab untuk memantau setelah mereka mengeluarkan lesen terhadap pusat hiburan, kita percaya semua PBT berkaitan ada membuat pemeriksaan daripada semasa ke semasa.

"Dalam masa sama, PDRM turut memantau pusat hiburan berkenaan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menggempur empat premis hiburan milik warga asing dan menahan 38 individu yang didapati melanggar pelbagai kesalahan mengikut Akta dan Peraturan Imigresen.

Serbuan dijalankan jam 2.45 pagi oleh Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), D3, JSJ, selepas menerima maklumat aktiviti hiburan di kompleks berkenaan yang beroperasi antara empat bulan hingga setahun lalu.

Turut diperiksa 34 wanita disyaki penari merangkap GRO di empat pusat hiburan terbabit.

Operasi itu memfokuskan untuk melaksanakan National Guideline Of Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 untuk mengesan sekiranya ada warga asing menjadi mangsa pemerdagangan orang iaitu ekploitasi buruh paksa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39B Peraturan Imigresen dan Seksyen 12 (1)(F) Akta Pasport 1966.

Artikel Berkaitan: