Belanjawan 2024 bukti kesungguhan Kerajaan Perpaduan

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

SEREMBAN - Belanjawan 2024 membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk memperbaiki dan mengangkat darjat ekonomi negara dan rakyat.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan kerajaan menyediakan RM2.6 bilion dalam bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan, membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menoktahkan kemiskinan kumpulan sasar.

"Menelusuri situasi semasa rakyat, saya melihat peruntukan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan program Payung Rahmah di lebih banyak kawasan DUN di seluruh negara dapat membantu rakyat mendepani cabaran kos sara hidup.

"Peningkatan kadar maksimum pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM3,100 kepada RM3,700 dan kadar minimum STR untuk golongan belia daripada RM350 kepada RM500 juga mampu melonjakkan kuasa beli rakyat, terutama di luar bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, RM333 juta yang diperuntukkan untuk komuniti Orang Asli meliputi pelaksanaan projek pembangunan sosioekonomi dan prasarana serta RM28 juta untuk program pembangunan usahawan serta penanaman semula ladang Orang Asli, pastinya mampu menambah baik kualiti kehidupan golongan ini.

Malah katanya, keseriusan kerajaan dalam menyalurkan RM1.63 bilion untuk membina dan menaik taraf jalan di kampung dan desa, serta RM939 juta untuk bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar juga membuktikan kerajaan ini tidak meminggirkan kehidupan luar bandar.

"Justeru, marilah kita gerak bersama atas semangat ‘Madani’ untuk memperbaiki kualiti kehidupan kita ke arah yang lebih baik," katanya.

Artikel Berkaitan: