Belanjawan 2024: Inisiatif galak wanita kembali bekerja

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan 2024 Malaysia MADANI melaksanakan beberapa inisiatif termasuk galakan cukai bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh kepada 60 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini bagi mencapai penanda aras yang ditetapkan dalam Kerangka Ekonomi MADANI.

"Bagi terus menggalakkan wanita untuk kembali bekerja, galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja dilanjutkan hingga 31 Disember 2027.

"Kerajaan mencadangkan bahawa had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak yang diterima oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak ditingkatkan daripada RM2,400 kepada RM3,000,” katanya ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ itu di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Anwar berkata, pendidikan awal kanak-kanak akan terus diberi perhatian menerusi peruntukan RM586 juta kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan RM20 juta bagi menaik taraf premis pendidikan awal kanak-kanak Kemas.

Beliau berkata, sebanyak 10 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) baharu dengan kos RM31 juta akan dibina, antaranya di Kampung Paya Berenjut di Kemaman, Terengganu; Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Jelai 1, Negeri Sembilan dan Taman Kota Masai, Johor Bahru, Johor.

"(Sejumlah) 26 prasekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina melibatkan kos RM82 juta termasuklah pembinaan bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir Gedong, Simunjan, Sarawak; SK Bunut Rendang, Kuantan, Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chabau, Melaka,” katanya.

Bagi memperkasakan penghayatan pendidikan Islam dan ilmu al-Quran sejak awal usia, Anwar berkata kerajaan akan melaksanakan Program Pra Tahfiz Kemas dengan peruntukan RM20 juta dan menyasarkan untuk melahirkan 100,000 hafiz cilik menjelang 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan akan memperluas program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen bagi menyediakan penempatan sementara untuk kanak-kanak dengan tiga pusat penempatan sementara melibatkan peruntukan RM10 juta.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan kesaksamaan peluang antara rakyat dan bantuan khusus untuk golongan tertentu terus disalurkan, terutamanya golongan rentan dan mereka yang memerlukan bantuan.

Bagi meningkatkan kapasiti dan daya saing usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera, Anwar berkata sejumlah RM1.6 bilion nilai kemudahan pinjaman dan jaminan disediakan khusus bagi golongan itu termasuk penyediaan pembiayaan modal teroka kepada syarikat pemula.

Selain itu, Anwar berkata, institusi pelaburan Bumiputera akan dipusatkan di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB).

"Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) akan digabungkan di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta diperkukuh melalui suntikan tanah strategik kerajaan khususnya di Kuala Lumpur bagi projek pembangunan perumahan.

"Ekuinas juga akan diletakkan di bawah payung YPB bagi memperkukuh pengembangan perniagaan Bumiputera dengan kerjasama PNB dan PUNB,” katanya. - Bernama