Tiga individu termasuk wanita ditahan jual, palsukan sijil cuti sakit

Mohd Zaidi Mat Zin
Mohd Zaidi Mat Zin
A
A
A

PEKAN – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penjualan sijil cuti sakit (MC) yang disyaki tidak sah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 30 hingga 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Kampung Marhum dan Kampung Kuala Pahang di sini pada Isnin.

Menurut beliau, suspek masing-masing bekerja sebagai pemilik bengkel, mekanik dan pencuci serta dipercayai bertindak sebagai orang tengah dalam kegiatan berkenaan.

“Siasatan dijalankan susulan maklumat diterima Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan pada 12 Mei lalu berhubung penjualan MC yang dipercayai berlaku di sekitar daerah ini.

“Maklumat diperoleh daripada seorang individu yang mendakwa membeli MC daripada seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai orang tengah untuk mendapatkan dokumen tersebut dengan bayaran tertentu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memaklumkan, semakan yang dijalankan PKD Pekan mendapati MC berkenaan menggunakan nama, cop dan tandatangan seorang pegawai perubatan yang telah bertukar tempat bertugas sejak tahun 2023.

Jelasnya, hasil siasatan lanjut mendapati nombor siri yang digunakan adalah daripada buku MC rasmi yang pernah diedarkan kepada sebuah klinik kerajaan.

“Pegawai perubatan terbabit mengesahkan cop yang digunakan merupakan cop lama miliknya yang tidak lagi digunakan selepas pertukaran tempat bertugas.

“MC berkenaan dipercayai dijual pada harga antara RM50 hingga RM200 sekeping,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai dijalankan secara terancang dengan melibatkan individu yang berperanan mencari pelanggan dan mengurus urusan penjualan MC.

Tambahnya, polis turut mengesyaki berlaku penyalahgunaan dokumen rasmi, penyalahgunaan cop serta pemalsuan MC bagi tujuan penipuan.

“Polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

“Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Pekan pada Selasa bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud menipu dan Seksyen 420 kanun sama kerana menipu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!