Belanjawan 2024: Diskaun pinjaman PTPTN diteruskan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak 10 hingga 15 peratus bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif diskaun yang dibahagikan kepada tiga kadar yang berbeza itu bertujuan bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam.

“Pertama, diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman. Kedua, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

“Ketiga, diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak mengizinkan mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.

“Bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi 1,500 ringgit.

“Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pada masa yang sama, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

“Sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.

“Pada masa hadapan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti bersama-sama PTPTN atau badan lain hendaklah berperanan memudah cara dan membantu mahasiswa dan bakal pelajar yang punyai masalah pembayaran yuran,” jelasnya.