Belanjawan 2024: RM2.4 bilion untuk Felda, Felcra, Risda

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan RM2.4 bilion kepada Felda, Felcra dan Risda untuk merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosio ekonomi pekebun kecil, kata Perdana Menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, keluasan kelapa sawit tua yakni lebih 25 tahun dijangka mencapai lebih 560,000 hektar menjelang tahun 2027.

"Ini akan menjejaskan produktiviti hasil buah tandan segar dengan kerugian sehingga RM7 bilion setahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini pada Jumaat.

Ujar Anwar, bagi membendung masalah itu, kerajaan akan menyediakan Insentif Program Tanam Semula Sawit dengan peruntukan RM100 juta.

"Insentif ini akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian," katanya.

Tambah beliau, industri kelapa sawit negara perlu terus dipertahan daripada salah tanggap Eropah.

"Kerajaan menyediakan RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, Lembaga Getah Malaysia telah berjaya membangunkan kaedah penggunaan gas stimulan yang berupaya memangkin pengeluaran getah sehingga tiga kali ganda di samping mampu menambah jangka hayat pokok getah sehingga 25 tahun.

"Sebanyak RM10 juta disediakan bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan untuk manfaat pekebun kecil getah di ladang seluas 1,000 hektar," katanya.

Sektor agrikomoditi telah menyumbang RM38 bilion atau sekitar lima peratus kepada KDNK dan RM77.4 bilion atau 11 peratus kepada eksport negara, setakat Jun 2023.

"Pencapaian membanggakan ini tetap tidak terlepas daripada pelbagai tantangan dan kemeruapan ekonomi global.

"Ini termasuklah kesan pelaksanaan non-tariff barrier oleh negara pengimport," katanya.