X

Kindly register in order to view this article
!

Idlib dibedil, puluhan ribu pelarian larikan diri

Serangan pasukan pemerintah memusnahkan bangunan di bandar Maarat el-Numan. - Foto: AFP
A
A

BEIRUT - Ribuan orang awam melarikan diri dari wilayah Idlib di Syria ke sempadan Turki susulan peningkatan serangan pengeboman oleh pasukan keselamatan kerajaan yang disokong Rusia.

Situasi itu sekali gus mewujudkan cabaran kemanusiaan baharu menjelang musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurut pemerhati Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 18,000 orang telah berpindah dari wilayah itu dalam tempoh hanya 24 jam selepas bedilan roket terus menyasarkan Idlib.

Semalam, sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan terbunuh sehari selepas 19 orang awam meninggal dunia sehari sebelumnya akibat serangan berterusan itu.

Dalam tempoh lima hari lalu, kira-kira 80,000 rakyat Syria telah melarikan diri berhampiran sempadan Turki dan setakat ini, hampir 1 juta rakyat negara itu tinggal di kawasan tersebut.

Agensi berita al-Jazeera melaporkan, serangan kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad melibatkan serangan udara dan bom tong di bandar Maarat el-Numan.

Penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan memberitahu, serangan menyasarkan hospital, pasar dan kediaman.

Idlib merupakan rumah kepada kira-kira 2.4 juta orang, lebih separuh daripadanya pelarian dalaman dan tinggal di khemah dekat sempadan Turki. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!