'Kakak mahu ikut abah'

Ahli keluarga mangsa ketika berada di lokasi kejadian di Cabang Empat Tumpat pagi Jumaat.
Ahli keluarga mangsa ketika berada di lokasi kejadian di Cabang Empat Tumpat pagi Jumaat.
A
A
A

TUMPAT - Dua maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di Cabang Empat Tumpat kira-kira jam 9.15 pagi Jumaat.

Ketika kejadian, mangsa Mohamad Khairani Mat Rani, 30, bersama isteri, Nurul Hasliza Mohd Fauzi, 24 dan dua anak mereka, Nurul Anisya Adriana serta Hakim Daniel masing-masing berusia tujuh dan dua tahun menaiki motosikal untuk membeli sarapan pagi.

Mohamad Khairani bersama isteri, Nurul Hasliza.
Mohamad Khairani bersama isteri, Nurul Hasliza.

Allahyarham Mohamad Khairani, dikatakan meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah pacuan empat roda sebelum digilis kereta, manakala anaknya, Nurul Anisya Adriana maut akibat tercampak.

Bapa saudara mangsa, Mohamad Hassan, 47, memberitahu, beliau berada di rumah ketika adiknya, Salwani Hassan, 33, memaklumkan kejadian berkenaan sebelum bergegas ke lokasi.

"Ketika tiba di situ, saya hanya melihat sekujur tubuh Mohamad Khairani dan anaknya, Nurul Anisya Adriana sudah ditutupi kain," katanya.

Menurut bapa kepada tujuh anak itu, semalam merupakan pertemuan terakhir dia dan anak saudaranya tetapi perbualan mereka hanya berkisar kehidupan seharian.

"Tiada apa yang pelik pada dirinya tetapi saya dimaklumkan anak sulungnya kerap kali memberitahu ahli keluarga lain, "abah sayang kakak dan mahu ikut abah pergi bersama"," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, anak saudaranya itu juga seorang yang aktif bermain gendang dan menyertai Kumpulan Gendang Sri Kebakat.

Mohamad
Mohamad

Menurut Mohamad, mereka bersama memenuhi undangan persembahan di beberapa negeri di seluruh negara sebelum dia sendiri mengambil keputusan berhenti apabila negara dilanda pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, Mohamad Khairani tetap meneruskan minat dan bakatnya.

"Sejak usia lima tahun lagi dia sudah menunjukkan kebolehan dan banyak masanya bersama kumpulan gendang selain kerja hakiki sebagai tukang rumah," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad memberitahu, isteri Allahyarham Mohamad Khairani mengalami kecederaan patah di beberapa anggota badan dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II bersama anak bongsunya.

Allahyarham Mohamad Khairani dan Nurul Anisya Adriana akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bechah Resak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis meminta oramg ramai yang melihat kejadian tampil membantu dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Ikhwan Mamat di talian 09-7257222," katanya.