Isu beras: Tarik balik kenyataan fitnah atau jumpa di mahkamah

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Ahmad
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Pas Kedah kesal apabila segelintir pihak mengaitkan parti itu sebagai dalang utama kes melibatkan pembekalan beras seperti didedahkan media baru-baru ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu merupakan cubaan untuk menjejaskan nama baik parti itu termasuk kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Susulan itu, Pas Kedah memberi tempoh 24 jam kepada pihak-pihak yang memfitnah penglibatan parti itu dalam isu terbabit yang dimuat naik di laman sosial.

“Sekiranya mereka tidak meminta maaf serta menarik balik kenyataan fitnah tersebut, bersedialah berdepan tindakan undang-undang, seterusnya jumpa di mahkamah,” katanya pada Jumaat.

Menurutnya, isu berkenaan telah diperjelaskan secara mendalam oleh Muhammad Sanusi pada Rabu, yang membuktikan kerajaan negeri pimpinan Pas mahupun pemimpin parti itu tiada kaitan dengan skandal beras.

“Tanggungjawab penguatkuasaan terhadap isu pembekalan beras adalah bawah kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

“Apakah motif menuduh penglibatan Pas Kedah dalam isu ini? Apakah mereka cuba untuk alih perhatian atas kegagalan menteri berkaitan dalam menangani isu ini?” soalnya.

Tambahnya lagi, tuduhan fitnah yang dilemparkan itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia tuduhan melampau dan tidak benar.

Artikel Berkaitan:

“Pas Kedah tidak pernah terlibat mahupun memberikan sebarang arahan kepada mana-mana pihak untuk melakukan aktiviti 'hoarding' sehingga memberi implikasi terhadap tahap keselamatan makanan negara.

“Pas Kedah senada dengan prinsip dan kelantangan ditunjukkan Muhammad Sanusi dalam memerangi kartel padi dan beras yang begitu lama berakar umbi dalam rantaian pembekalan industri padi negara,” jelasnya.

Ahmad berharap pihak terlibat tidak bertindak semberono dan cuba memburukkan pihak lain untuk menutup kelemahan sendiri.

“Usah baling batu sembunyi tangan!” tegasnya.

Sejak Khamis, tersebar di media sosial beberapa kenyataan yang dimuat naik cuba mengaitkan Pas Kedah dengan ketidakcukupan beras tempatan di pasaran.

Ia susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan penipuan sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah yang menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan beras dalam negara.

Syarikat terbabit didakwa mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun sejak tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Namun pada Rabu, Muhammad Sanusi tampil menjelaskan skandal beras tersebut tiada kaitan dengan kerajaan negeri pimpinannya, sebaliknya kes yang dibongkar merupakan kes lama yang berlaku pada 2016.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!