'Wakil rakyat PN wajar contohi Ahli Parlimen Kuala Kangsar'

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar dicontohi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) lain.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, sokongan Iskandar Dzulkarnain itu membuktikan beliau merupakan pemimpin yang berjiwa besar.

"Selain itu beliau memperlihatkan bahawa perbezaan fikrah atau manhaj politik bukan satu halangan untuk bersama-sama dalam mencurahkan khidmat bakti terbaik demi kepentingan rakyat.

"Perkara ini sepatutnya menjadi panduan dan teladan kepada setiap wakil rakyat pembangkang kerana keutamaan perlu diletakkan kepada rakyat seperti janji-janji yang telah dilontarkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, sudah sampai masanya setiap wakil rakyat khususnya daripada pihak pembangkang menghentikan segala drama dan lakonan yang tidak memberi nilai tambah serta mengganggu gugat kestabilan negara.

"Sokongan dan komitmen jitu perlu dizahirkan kepada usaha Kerajaan Perpaduan untuk meminimumkan masalah pengangguran, memperkasakan pertumbuhan ekonomi dan

menyelesaikan segala permasalahan yang melingkari kehidupan rakyat ketika ini.

"Kita yakin jika perkara ini dapat diletakkan sebagai asas utama, bermakna usaha

Artikel Berkaitan:

untuk memateri konsep politik berhemah dan matang dapat diperkasakan secara tuntas," katanya.

Mohamad Hairul Amir berkata, kepimpinan diterajui Anwar perlu diteruskan agar dapat memanfaatkan kepada rakyat dan negara.

"Kita percaya mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Kerajaan Madani untuk mentadbir akan digunakan sebaiknya.

"Ia bagi mencapai matlamat merubah Malaysia menjadi sebuah negara mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain," katanya.