Enam pasangan kembar cemerlang pilih UUM lanjut pengajian

Nurin Najla (lima dari kiri), Nurin Najma (empat dari kiri) dan pasangan kembar lain diraikan oleh Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan (tengah).
Nurin Najla (lima dari kiri), Nurin Najma (empat dari kiri) dan pasangan kembar lain diraikan oleh Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohd Foad Sakdan (tengah).
A
A
A

SINTOK - Enam pasangan kembar cemerlang memilih melanjutkan pengajian mereka ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi kemasukan sesi 2023/2024.

Pasangan kembar berusia 19 tahun dari Alor Setar iaitu Nurin Najla Izhan dan Nurin Najma Izhan menjadikan UUM sebagai pilihan utama memilih program Sarjana Muda Perakaunan di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Mereka yang merupakan lepasan Kolej Matrikulasi Kedah dengan CGPA 4.0 berkata, program perakaunan menjadi pilihan pertama ketika mengisi UPUOnline dan bersyukur kerana dapat mengejar cita-cita di universiti utara tanah air itu.

“Kami mengharapkan untuk sambung belajar ke UUM kerana mempunyai minat dalam bidang perakaunan semenjak di bangku sekolah lagi, perasaan menjadi sangat teruja apabila terpilih ke UUM, tambahan pula persaingan begitu sengit untuk mendapat tempat bagi program pengajian ini," kata Nurin Najla.

Perkara tersebut diakui Nurin Najma kerana mereka juga tidak perlu berjauhan dengan keluarga mereka.

Satu lagi pasangan yang membuat pilihan pertama untuk belajar di UUM ialah Nur Alina Khirruddin dan Nur Aliza Khirruddin yang mengikuti program Sarjana Muda Logistik.

Mereka yang sebelum ini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Cempedak, Yan tidak menyangka pilihan pertama untuk ke UUM menjadi kenyataan.

Pasangan lepasan Diploma Politeknik Syed Sirajudin, Perlis iaitu Ainun Sakinah Mohd Khairil dan Ainun Shakirah Mohd Khairil, 21, pula memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Pengurusan Acara.

Artikel Berkaitan:

Pasangan kembar lain yang turut mendaftar di UUM termasuklah Azfar Haruya Amir Syahrul dan Malikah Asna Amir Syahrul, 19, yang merupakan kembar tidak seiras.

Kedua mereka adalah lepasan Kolej Matrikulasi Gopeng, Perak memilih bidang perakaunan sepanjang tempoh pengajian di sini.

Begitu juga Nureen Farahanie Mohd Nizam dan Nureen Farahanis, 21, dari Rawang, Selangor di mana kedua-duanya memilih program pengajian sama iaitu Sarjana Muda Pentadbiran.

Siti Rohayu Ma’song dan Siti Rohana Ma’song, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Mas, Kelantan memilih pengajian dalam bidang kaunseling.

Kesemua pasangan kembar bersama tujuh pelajar Orang Asli antara pelajar yang mewarnai kemasukan pelajar baharu UUM berjumlah 3,879 pelajar.