Universiti Teknikal Malaysia diberi tanggungjawab perkasa TVET

Mohamed Khaled (tengah) mengadakan lawatan kerja di UMP Pekan pada Isnin.
Mohamed Khaled (tengah) mengadakan lawatan kerja di UMP Pekan pada Isnin.
A
A
A

PEKAN - Kerajaan sedang memperkasa pengajian pendidikan teknikal dan latihan (TVET) dengan mewujudkan program kerjasama industri dalam kampus.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi tujuan itu, rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sudah boleh merancang langkah untuk meningkatkan kemasukan pelajar bagi memenuhi permintaan negara dalam bidang TVET.

Menurutnya, universiti terlibat ialah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terutama dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

"Kita akan mula pada RMK-13, saya mengharapkan universiti ini (MTUN) sudah ada perancangan untuk memperluaskan lagi tempat pengajian dan mewujudkan pengajian dalam negara (yang) sama serta membuka lebih banyak cawangan bagi kemudahan kepada pelajar.

"Kita meletakkan tanggungjawab ini terhadap ke empat universiti ini supaya mampu menyediakan lebih banyak tempat kepada pelajar yang memilih bidang TVET," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke UMP Pekan, pada Isnin.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin.

Mohamed Khalid turut menyarankan agar universiti tempatan menjalinkan hubungan baik dan rapat dengan pihak pemain industri sekali gus bertindak proaktif bagi menjayakan usaha tersebut.

Tambah beliau, tindakan ini juga untuk memastikan industri menyerahkan kepada universiti untuk mengemukakan penyelesaian kepada isu-isu dan cabaran yang dihadapi pihak industri.

“Dengan itu, industri bersedia untuk menyalurkan peruntukan penyelidikan kepada pihak universiti.

“Universiti pula dapat bertindak mencari jalan bukan sahaja bagaimana menyelesaikannya tetapi dapat mengemukakan teknologi dan produk baharu untuk universiti itu sendiri,” katanya.

Mengulas hasil lawatan ke UMP, beliau berpuas hati dengan perjalanan dan pencapaian universiti itu yang berada pada landasan tepat untuk terus menyumbang kepada kemajuan negara.

Katanya, UMP adalah antara universiti teknikal yang membabitkan pengajian TVET.

"Dari segi kebolehan pasaran, sebanyak 98.67 peratus pelajar yang dikeluarkan daripada UMP mendapat pekerjaan iaitu melebihi universiti awam atau MTUN yang lain.

"Sebanyak 20 peratus graduan UMP mendapat gaji melebihi RM3,000 ke atas kerana hubungan baik dan rapat dengan pihak industri,"jelas beliau lagi.