Kudrat ibu tua jaga anak terlantar akibat kanser payudara

Mohamad Radhi (dua dari kiri) menyampaikan bantuan makanan dan kelengkapan untuk kegunaan Nor Syakinah kepada Teh (tiga dari kanan) di rumah mereka di Kampung Simpang Tiga Alor Binjal di sini pada Khamis.
Mohamad Radhi (dua dari kiri) menyampaikan bantuan makanan dan kelengkapan untuk kegunaan Nor Syakinah kepada Teh (tiga dari kanan) di rumah mereka di Kampung Simpang Tiga Alor Binjal di sini pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Meskipun sudah berusia 71 tahun, namun kudrat ibu tua ini tetap gagah menjaga anak perempuannya yang terlantar sakit sejak kira-kira dua bulan lalu akibat kanser payudara tahap empat.

Teh Abu Hassan dari Kampung Simpang Tiga Alor Binjai di sini menguruskan Nor Syakinah Othman, 27, setiap hari memandangkan anak keduanya itu tidak dapat menguruskan dirinya sendiri.

Katanya, Nor Syakinah yang belum berkahwin disahkan menghidap kanser payudara pada tahun 2020 dan menjalani satu pembedahan untuk kembali sembuh.

"Alhamdulillah selepas pembedahan dia sihat, boleh urus diri macam biasa tapi sejak dua bulan lalu dia mulai lemah dan terlantar," katanya ketika ditemui di rumahnya selepas ziarah kasih oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu Mohamad Radhi Mat Din bersama wakil Pasar Raya Econsave pada Khamis.

Menurutnya, walaupun lututnya sakit akibat keuzuran, namun dia tetap gagahkan diri menguruskan Nor Syakinah termasuk mengelap badan anaknya itu.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana turut dibantu oleh menantu perempuan (Zayimah Saad, 35), jika tidak mungkin lebih sukar," katanya.

Menurut Teh, dia juga bersyukur apabila permohonan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diluluskan dan melayakkan Nor Syakinah mendapat bantuan RM500 setiap bulan.

"Dengan duit bantuan itu la kami guna untuk beli kelengkapan dan keperluan dia, Alhamdulillah setakat ini masih cukup.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun Pusat Khidmat DUN Alor Mengkudu sebelum ini ada juga memberi bantuan lain termasuk katil kepada anak saya," katanya.

Sementara itu kepada orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Nor Syakinah boleh menghubungi abangnya Mohd Sabri Othman di talian 017 4789648.