'Masih ramai wanita pilih lebih baik tak tahu ada kanser'

Dr Shaharum (kanan) melihat bahan makanan di reruai sempena Karnival Kesejahteraan Payudara Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Ahad.
Dr Shaharum (kanan) melihat bahan makanan di reruai sempena Karnival Kesejahteraan Payudara Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Ahad.
A
A
A

PASIR MAS - Masih ramai wanita di Kelantan yang memegang prinsip lebih baik tidak tahu ada penyakit kanser payudara dan sanggup berdiam diri daripada melakukan pemeriksaan.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Shaharum Shamsuddin berkata, justeru Unit Kesedaran Dan Penyelidikan Kanser Payudara USM berusaha mengubah mentaliti golongan berkenaan.

"Mereka kini masih ada stigma tidak boleh menerima kenyataan dan enggan mengetahui bahawa mereka diserang kanser.

"Bagi mereka, lebih baik tidak tahu kerana akan bertukar bimbang, takut dan tidak boleh menumpukan perhatian kepada tugas seharian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Karnival Kesejahteraan Payudara Peringkat Negeri Kelantan di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah.

Dr Shaharum memberitahu, berdasarkan statistik USM, kes yang telah disahkan menghidap kanser payudara menunjukkan peningkatan setiap tahun dengan purata 100 kes setahun.

"Kita kesal kerana sebanyak 50 peratus daripada kes ini dikesan pada tahap tiga dan empat di mana sel kanser sudah merebak keluar dari payudara sama ada ke kalenjar limfa atau organ lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau juga, tahap umur pesakit kanser ialah antara 50 hingga 60 tahun tetapi statistik kini menunjukkan penyakit itu boleh menyerang pada usia lebih muda iaitu antara 30 hingga 40 tahun.

Tambahnya, melalui kajian yang dibuat, kadar survival atau kadar kelangsungan hidup menurun dengan ketara daripada 90 peratus ( tahap 1) kepada 20 peratus (tahap 4)

"Penekanan kita sekarang kanser mempunyai ubat dan boleh dirawat. Ia bukan hukuman mati yang perlu ditakuti," katanya.

Program yang dipengerusikan oleh Pensyarah dan Pakar Perunding Patologi USM, Prof Madya Dr Dr Wan Faiziah Wan Abdul Wan Abdul Rahman itu turut memberi fokus terhadap pengesanan awal kanser payudara.

USM menyediakan dua mesin ultrasound dan rakan kerjasama Majlis Kanser Nasional (Makna) menyediakan mesin mamogram dan ultrasound.

Penganjuran menyasarkan seramai 200 peserta yang melakukan saringan sepanjang empat hari program berlangsung bermula Ahad.