Jangan terpengaruh guru dakwa dirinya ada 'mukjizat' - Mufti

Laporan muka depan Sinar Harian Khamis. Gambar kecil: Wan Salim Wan Mohd Noor
Laporan muka depan Sinar Harian Khamis. Gambar kecil: Wan Salim Wan Mohd Noor
A
A
A

SHAH ALAM - Bagi mengelak terjebak dengan ajaran sesat, umat Islam diingatkan agar meningkatkan ilmu agama meliputi aspek ibadah dan akhlak (tasawuf).

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ini termasuklah mengamalkan belajar daripada ramai guru, bukan hanya seorang guru tertentu.

Menurutnya, ini penting kerana dengan belajar daripada guru yang ramai, seseorang lebih mampu membezakan antara ajaran yang benar dengan yang salah.

“Jangan mudah terpengaruh dengan mana-mana guru yang mendakwa dirinya ada keistimewaan tertentu seperti mengetahui perkara-perkara ghaib, boleh mengajar ilmu untuk menjadi kaya dengan cara yang cepat dan mudah tanpa perlu berusaha.

“Elakkan juga guru yang berperangai sombong, suka memburuk-burukkan atau merendah-rendahkan ulama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan ancaman ke atas pegangan ahli sunnah hari ini dilakukan secara terang oleh musuh Islam dan berselindung melalui gerakan batiniah tertentu.

Wan Salim turut mengingatkan agar masyarakat menjauhi guru yang sering memaki hamun orang, sering mencarut atau menggunakan bahasa yang kasar atau tidak bersopan.

“Guru yang ekstrem dalam taksub dengan mendakwa bahawa pandangannya sahaja yang betul manakala orang lain salah belaka.

Artikel Berkaitan:

“Ini termasuklah guru yang suka menyentuh isu-isu kontroversi atau khilafiah yang diperselisihkan oleh para ulama kerana ia tidak akan memberi sebarang faedah, malah, hanya membuang masa dan fikiran,” jelasnya,

Nasihatnya lagi, belajarlah daripada guru yang mempunyai tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri.

“Sebaik-baiknya mereka yang mengajar di masjid dan surau, bukan yang mengajar di rumah atau tempat-tempat terpencil,” ujarnya,