Lunaskan tugasan dengan baik, jangan sekadar 'bekerja, tetapi tidak kerja'

BEKERJA biarlah ikhlas semata-mata kerana ALLAH.
BEKERJA biarlah ikhlas semata-mata kerana ALLAH.
A
A
A

JIKA sudah namanya bekerja atau makan gaji, sudah tentulah kita perlu melaksanakan tugasan dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya.

Masakan tidak, segala usaha penat lelah kita dibayar oleh pihak yang memberikan pekerjaan atau majikan.

Namun begitu, dalam satu keadaan, ada segelintir orang yang bekerja, tetapi tidak melakukan kerja dengan sempurna.

Hanya sekadar datang tepat pada masa dan pulang pada waktunya, namun hanya melaksanakan pekerjaannya sekadar melepaskan 'batuk di tangga'.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, ini kerana kebanyakan orang menganggap, mereka pergi kerja dan berada di tempat kerja sahaja sudah memadai tanpa melakukan sebarang tugasan yang diamanahkan.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

"Apa yang dilakukan adalah lebih banyak 'menyibuk' semata-mata. Kelompok berkenaan lazimnya suka ke sana dan ke sini, menyampuk, melepak dan berbual kosong bersama rakan.

Artikel Berkaitan:

"Perbualan mereka biasanya hanya terbatas kepada isu peribadi, keluarga, hobi, kereta, rumah dan lain-lain.

"Dalam erti kata lain, tahap kerjanya amat sedikit dan malangnya tiada penghasilan yang baik. Inilah pekerja yang sebenarnya pergi kerja tetapi tidak bekerja. Orang seperti ini biasanya amat berminat untuk punch card sahaja pergi dan pulang dari kerja. Itulah yang dipeliharanya," katanya sebagaimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.

Menerusi artikel bertajuk #2659: Kerja Tapi Tak Kerja, mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu menyarankan agar individu tersebut melakukan satu perubahan jiwa dan sikap serta memahami tanggungjawab sebenar.

"Ia mesti digalas dengan sebaik mungkin. Sepatutnya bersyukurlah kerana betapa ramai orang berusaha merebut peluang pekerjaan, tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan pengambilan pekerja yang terhad dan penjimatan sesebuah syarikat.

"Sedangkan kita yang sudah stabil bekerja mengabaikan peluang yang diperoleh di hadapan mata. Alangkah ruginya kita mensia-siakan peluang ini," ungkapnya.

Agamawan itu kemudian menitipkan pesan agar kita wajib mengambil kesempatan yang terbentang luas di hadapan mata dengan menonjolkan cara kerja terbaik berbekalkan ilmu, semangat yang kental dan matlamat yang jelas untuk dicapai.

"Dengan cara ini, kita akan dapat menatijahkan hasil yang lumayan dan luar biasa dalam membangun majikan, syarikat dan negara kita," katanya yang memetik saranan dikemukakan dalam buku bertajuk Masa Peliharalah.

Sebagai seorang hamba yang juga pemegang amanah ALLAH SWT, Dr Zulkifli mengingatkan agar kita melunaskan kewajipan diberikan dengan baik.

Ia sebagaimana firman ALLAH: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.” (Surah al-Mukminun, ayat 8)

"Justeru, marilah kita menunaikan tugas dengan sebaik mungkin, penuh dengan inovasi cekap dan profesional," titipnya.

Beliau turut berkongsikan sepotong doa yang boleh diamalkan dalam kehidupan kita.

Doa itu berbunyi: Allahumma la sahka illa ma ja'altahu sahla, wa anta taj'alul huzna in syi'ta sahla.

SEBAGAI seorang hamba dan juga pemegang amanah ALLAH, lunaskanlah kewajipan diberikan dengan baik.
SEBAGAI seorang hamba dan juga pemegang amanah ALLAH, lunaskanlah kewajipan diberikan dengan baik.

Maksudnya: “Ya ALLAH! Tiada kemudahan kecuali apa yang ENGKAU jadikannya sebagai kemudahan. Dan ENGKAU-lah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika ENGKAU kehendaki dengan kemudahan.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Ibn Hibban dan Ibn al-Sunni)