Mahkamah arah Caprice, Mondy padam video cemar imej Ebit Lew

Caprice (kiri) dan Mondy Tattoo.
Caprice (kiri) dan Mondy Tattoo.
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Ebit Lew berjaya mendapatkan perintah injunksi di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis lalu supaya penyanyi rap, Caprice dan pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo memadamkan satu rakaman di laman Youtube Nustix.com The Podcast Show dan lima video di Instagram penyanyi rap itu dalam tempoh 24 jam.

Ia selepas Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 39, memperoleh perintah injunksi itu bagi menghalang Caprice dan Mondy daripada mengeluarkan kenyataan mencemarkan reputasi dan ugutan terhadap penceramah bebas itu, keluarga serta rakan-rakannya.

Ebit Lew memfailkan perintah injunksi itu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Sesyen Sivil di sini pada 5 Oktober lalu.

Ebit Lew selaku plaintif menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 37, dan Mondy Tattoo atau nama Dita Restu Amanda sebagai defendan pertama dan kedua.

Menurut penyataan tuntutan difailkan, Ebit Lew mendakwa mula mengenali Mondy ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia, 7 Jun.

“Ketika itu, wanita berkenaan memperkenalkan diri sebagai ibu tunggal dan gelandangan.

“Pada 12 Jun lalu, Mondy berkunjung ke Malaysia bagi mempelajari dan mendalami agama Islam di Ma'ahad Ad-Dirasaatil Islamiyyah, Sri Petaling, di sini,” katanya.

Bagaimanapun, plaintif berkata, Mondy kemudiannya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembelajarannya dan pulang ke Indonesia sebulan kemudian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 15 September lalu, Caprice yang juga aktivis kemanusiaan memuat naik rakaman video yang mana Wanita berkenaan dijadikan sebagai tetamu jemputan.

Rakaman itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap Mondy, selain seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.

Plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam.

Banyak komen negatif, cacian dan makian didakwa dikeluarkan oleh pengikut akaun Youtube Caprice akibat penerbitan video itu.

Plaintif turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan Caprice dan Mondy yang menyebabkan dirinya dikecam, diejek dan diaibkan.

Pada 29 September lalu, polis dilaporkan akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan dakwaan kes gangguan seksual dan fitnah membabitkan Ebit Lew, The Mondy Tattoo serta Caprice.