Majikan gagal kemuka dokumen penaksiran risiko

Seorang pekerja maut dilanggar lori hantu yang hilang kawalan di tapak pelupusan sisa pepejal di Padang Cina, Kulim pada Isnin lepas.
Seorang pekerja maut dilanggar lori hantu yang hilang kawalan di tapak pelupusan sisa pepejal di Padang Cina, Kulim pada Isnin lepas.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Kedah mendapati majikan kepada pekerja yang maut di tapak pelupusan sisa pepejal di Padang Cina, Kulim gagal mengemukakan sebarang dokumen penaksiran risiko dan prosedur kerja selamat bagi semua aktviti kerja.

Pengarah JKKP Kedah, Idris Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan berikutan kemalangan maut melibatkan seorang pekerja asing kira-kira jam 5 petang pada Isnin lepas.

Beliau memberitahu, laporan awal diterima pada keesokan hari menyatakan seorang pekerja lori 'compactor' sampah maut dilanggar lori hantu yang hilang kawalan semasa bekerja di tapak pelupusan tersebut.

"Mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kulim sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

"Hasil siasatan awal mendapati, majikan gagal mengemukakan sebarang dokumen penaksiran risiko dan prosedur kerja selamat bagi semua aktiviti kerja,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Idris berpandangan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, sekali gus bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja.

Beliau menambah, majikan juga seharusnya membuat penilaian risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

Tegas beliau, risiko keselamatan ke atas pekerja dapat dikurangkan dan kemalangan boleh dielakkan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kata beliau, JKKP Kedah akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat perlanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Idris berkata, pihaknya memandang serius setiap kemalangan yang berlaku melibatkan pekerja mahupun orang awam.

Menurut beliau lagi, kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan pengenalpastian, penaksiran dan kawalan risiko (HIRARC) termasuk mengadakan prosedur kerja selamat di tempat kerja.