Peminjam LPPSA boleh tangguh bayaran rumah dalam pembinaan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Peminjam Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) boleh menikmati tempoh penangguhan (grace period) selama 24 bulan bagi pembinaan rumah atas tanah untuk perumahan yang masih dalam pembinaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim Chee Keong berkata, tempoh penangguhan 36 bulan pula bagi pembinaan rumah bertingkat (high rise) atau sehingga pengeluaran bayaran kemajuan perumahan kepada pemaju mencecah 95 peratus, yang mana lebih terdahulu.

Dalam erti kata lain katanya, peminjam sebenarnya tidak perlu membayar balik pembiayaan dalam tempoh penangguhan tersebut yang merupakan satu kelebihan pembiayaan LPPSA kepada penjawat awam.

“Seterusnya sekiranya projek perumahan tersebut lewat siap dan telah disahkan sebagai projek terbengkalai atau sakit oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dan Sarawak (KKTP) selepas tamat tempoh tangguh tersebut.

“LPPSA masih boleh membantu melakukan penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan bayaran ansuran bulanan yang lebih rendah sekitar 20 peratus hingga 40 peratus daripada ansuran bulanan asal sehingga tempoh lima tahun atau sehingga projek rumah dipulihkan, yang mana lebih terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang bertanyakan sama ada LPPSA boleh memberhentikan sementara pemotongan gaji sementara menunggu projek perumahan yang tidak siap disambung kembali.

Tambah Steven, bantuan penjadualan semula bayaran balik ini telah memanfaatkan seramai 1,187 peminjam dari tahun 2016 sehingga kini, namun tiada rekod di bawah Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) bagi permohonan dan kelulusan penjadualan semula bayaran balik bagi tahun 2015 dan ke bawah.

Jelasnya, kaedah penjadualan semula bayaran balik dilihat lebih membantu peminjam berbanding pemberhentian bayaran balik sehingga rumah siap.

Artikel Berkaitan:

“Ini disebabkan oleh bayaran ansuran yang tertangguh akan menjadi terkumpul dan menyebabkan bayaran balik bulanan selepas rumah siap akan menjadi besar dan membebankan peminjam kelak.

“Pelanjutan tempoh bayaran balik pula akan menjejaskan perlindungan takaful atau insurans gadai janji peminjam yang mendedahkan kepada pengurangan jumlah bayaran tuntutan pampasan kematian atau keilatan berbanding baki pembiayaan sekiranya peminjam meninggal dunia.

“LPPSA juga bertanggungjawab untuk memastikan kesinambungan kemudahan pembiayaan perumahan kepada semua penjawat awam yang layak melalui kutipan bayaran balik yang kita laksanakan,” katanya.