Tun M gesa negara Islam kejar pembangunan teknologi

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negara-negara Islam perlu mula berusaha ke arah mencipta dan membangunkan teknologinya sendiri supaya ia berada ke depan dalam aspek kemajuan teknologi bersama dengan negara-negara maju.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, negara Islam masih jauh ketinggalan dan bergantung kepada ciptaan dan teknologi yang dihasilkan negara bukan Islam dan menurutnya, mereka perlu menggandakan usaha untuk merapatkan jurang kemajuan teknologi dengan negara-negara lain.

“Jika kita tidak mula mencipta dan membangunkan teknologi sendiri, maka selamanya kita akan berada di belakang negara-negara maju.

“Kita tidak ada pilihan kecuali mula berusaha ke arah ini,” katanya semasa sesi meja bulat dan perbincangan di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) di sini hari ini.

Presiden Iran, Dr Hassan Rouhani dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut mengambil bahagian dalam sesi itu di samping Dr Mahathir itu.

Bercakap pada sesi yang bertajuk 'Keutamaan Pembangunan dan Cabaran', Perdana Menteri Malaysia itu berkata, beliau berharap sidang kemuncak berkenaan akan dapat melahirkan strategi serta pendekatan yang jelas dalam menangani perkara itu.

Dr Mahathir juga berkata, negara-negara Islam tidak ada pilihan selain bangkit dan berkembang maju secepat mungkin sekiranya mereka berhasrat untuk memulihkan segala bentuk malapetaka yang menimpa ummah.

“Kita telah bercakap dengan panjang lebar berhubung keadaan negara-negara Muslim.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun kita mungkin tidak dapat mengasingkan sepenuhnya segala perkara yang telah menyebabkan keperitan dan kesengsaraan kita, kebanyakan kita bersetuju bahawa ia berpunca daripada ketidakupayaan kita mengejar perkembangan dan kemajuan orang bukan Islam yang telah meninggalkan kita dalam keadaan sukar dan terabai,” katanya.

Dalam merangka strategi pembangunan, beliau juga menekankan kepada keperluan untuk menangani gangguan-gangguan yang disebabkan oleh kemajuan teknologi dan untuk memastikan bahawa ia sentiasa ditingkatkan supaya tidak menjadi usang apabila teknologi baharu muncul.

“Kemajuan pesat kemajuan teknologi ini juga mengancam untuk menjadikan beberapa strategi dan rancangan yang kita lakar hari ini, usang dalam masa beberapa tahun sahaja.

“Hari ini kita menyaksikan hampir setiap hari, bagaimana teknologi canggih dan kemajuan ekonomi yang berusia hanya beberapa tahun lepas menjadi tidak lagi relevan, di samping mengakibatkan beberapa segmen tenaga kerja kita juga menjadi tidak lagi relevan,” katanya.

Dr Mahathir turut mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan delegasi mengenai agenda Malaysia dalam mengajar kemajuan, yang menggariskan hala tuju strategi yang jelas bagi melangkah ke hadapan demi pembangunan negara.

Beliau menambah kerajaan baru-baru ini telah melancarkan 'Wawasan Kemakmuran Bersama 2030', yakni kerangka kerja pembangunan negara yang menggariskan matlamat 10 tahun yang disasar mewujudkan kekayaan kepada negara dan akhirnya memberikan manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

Bagi menangani kepesatan revolusi industri 4.0, beliau berkata, Malaysia juga telah memperkenalkan dasar negara yang dinamakan ‘Industri Masa Depan’ yang memfokus kepada usaha mengubah sektor pembuatan dan perkhidmatan yang berkaitan secara digital.

"Dasar ini berusaha meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi strategik untuk pembuatan pintar, destinasi utama teknologi tinggi dan penyedia penyelesaian menyeluruh bagi sektor pembuatan di rantau ini," tambahnya. - Bernama