X

Kindly register in order to view this article
!

Sugarbook: Pas persoal suara menteri, timbalan menteri

Kamaruzaman
A
A

SHAH ALAM - Pas mendakwa tindakan negara ini berbeza berbanding Singapura dan New Zealand dalam mendepani iklan tidak bermoral, aplikasi Sugarbook.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, ketika aplikasi itu memasuki pasaran Singapura pada awal 2018, ia mendapat tentangan hebat.

Menurutnya, beberapa pemimpin politik dan pertubuhan wanita Singapura mendesak pihak berkuasa menyemak keabsahan Sugarbook di sisi undang-undang.

"Pemimpin wanita Singapura menyebut aplikasi itu mendedahkan wanita muda kepada eksploitasi, stigma, penganiayaan dan kerosakan psikologi.

"Begitu juga bila Sugarbook menyatakan hasrat mahu memasuki pasaran New Zealand pada awal 2019, ia mendapat tentangan hebat pemuka-pemuka masyarakat New Zealand, namun lain yang berlaku di negara Malaysia yang kita cintai ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamaruzaman berkata, pemimpin kerajaan dan pertubuhan wanita di negara ini tidak bersuara mengenai perkara tersebut.

Menurutnya, Sugarbook adalah syarikat yang bertapak di Malaysia dan diasaskan warga tempatan dengan rakyat negara ini merupakan pengguna terbesar aplikasi itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas desak haramkan segera Sugarbook!

"Bila isu ini heboh, ke mana perginya suara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail?

"Tidakkah beliau merasa bertanggungjawab melindungi wanita-wanita muda kita daripada terjebak ke dalam kancah kemaksiatan dengan menjadi ‘sugar babies’ untuk mencari wang mudah.

"Ke mana perginya suara Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan) dan Teo Nie Ching (Timbalan Menteri Pendidikan), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan) dan Dr Lee Boon Chye (Timbalan Menteri Kesihatan). Menteri dan Timbalan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Fuziah Salleh?" soalnya.

Beliau turut mengajukan persoalan sama kepada pertubuhan wanita seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dan Sisters in Islam (SIS) mahu pun pejuang wanita seperti Siti Zabedah Kassim dan Datin Paduka Dr Marina Mahathir dalam menyuarakan pendirian berhubung kewujudan aplikasi itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!