Bolivia arah tahan Evo Morales

Evo Morales
Evo Morales
A
A
A

SUCRE - Peguam Negara Bolivia semalam mengarahkan penahanan bekas Presiden, Evo Morales selepas kerajaan sementara mendakwa beliau dengan tuduhan menghasut dan keganasan.

Pendakwa raya awam di La Paz menandatangani waran kepada polis untuk menahan pemimpin berusia 60 tahun terbabit yang kini berada di Argentina.

Bekas pemimpin Kesatuan Perdagangan itu bagaimanapun menolak waran tangkap itu yang disifatkan sebagai melanggar undang-undang, tidak adil dan tidak berperlembagaan.

"Saya tidak takut. Selagi saya masih hidup saya akan terus bertahan dalam perjuangan politik dan ideologi untuk Bolivia yang bebas serta berdaulat," katanya menerusi Twitter.

Morales meninggalkan Bolivia pada bulan lalu selepas protes ganas tercetus susulan keputusan pilihan raya pada 20 Oktober lalu yang didakwa dicemari penipuan.

Beliau memegang tampuk pemerintahan di negara itu selama hampir 14 tahun sebelum meletak jawatan dan meninggalkan negara itu.

Morales pada mulanya menerima suaka di Mexico dan tiba di Argentina pada minggu lalu.

Tuduhan yang dikenakan ke atasnya berpunca daripada rakaman audio didedahkan Menteri Dalam Negeri, Arturo Murillo yang menunjukkan Moraels mengarahkan salah seorang penyokongnya agar menghalang trak dan mengganggu bekalan makanan ke beberapa bandar. - AFP

Artikel Berkaitan: