Duta China sangkal etnik Uighur ditindas

Duta China ke Australia, Cheng Jingye berkata laporan penahanan warga Uighur sebagai berita palsu. -FOTO AAP
Duta China ke Australia, Cheng Jingye berkata laporan penahanan warga Uighur sebagai berita palsu. -FOTO AAP
A
A
A

SYDNEY - Duta China ke Australia mempertahankan negaranya terhadap tuduhan pelanggaran hak asasi manusia, pengintipan dan campur tangan politik yang menjejaskan hubungan antara kedua-dua rakan perdagangan terbabit.

Cheng Jingye berkata, laporan mendakwa China menahan lebih sejuta etnik Uighur dan beberapa etnik minoriti Muslim lain dari wilayah Xinjiang di 'kem pendidikan' bagi menghapuskan budaya mereka adalah berita palsu.

"Penahanan warga Uighur adalah berita palsu," kata Jingye pada sidang akhbar di kedutaan China di Canberra hari ini.

Menurut beliau, fasiliti yang dimaksudkan adalah sekolah latihan vokasional yang memberi nafas baharu kepada golongan miskin di wilayah terbabit sementara sebarang penahanan yang dibuat adalah bertujuan untuk menentang ekstremisme.

"Ia tiada sebarang kaitan dengan hak asasi manusia atau agama. Ia tentang menentang keganasan dan mengambil langkah pencegahan," kata Jingye yang turut menegaskan tuduhan China terlibat dalam aktiviti pengintipan dan kempen politik di Australia sebagai tidak berasas.

Hubungan dengan China semakin tegang susulan penahanan seorang penulis terkenal Australia, Yang Hengjun oleh Beijing atas tuduhan pengintipan.

Jingye mengakui tahun 2019 merupakan tahun yang sukar buat hubungan dua hala antara China dan Australia. - AFP

Artikel Berkaitan: