Warga Vietnam didenda RM200,000 ceroboh perairan negara

Kedua-dua tekong Vietnam ini masing-masing didenda RM200,000 atau enam bulan penjara di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Kedua-dua tekong Vietnam ini masing-masing didenda RM200,000 atau enam bulan penjara di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua tekong Vietnam masing-masing didenda RM200,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan secara haram.

Tertuduh, Vo Xuan Hieu, 44 dan Huynh Van Khang, 45, masing-masing turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) yang dihukum mengikut Seksyen 25(a) dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang dibaca secara berasingan.

Mengikut pertuduhan bagi tertuduh, Vo Xuan Hieu, dia didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu mengenai nama, negara, lokasi jalan dan destinasi kapal berkenaan, jenis dan amaun ikan yang dibawa selain keadaan vesel itu yang memasuki perairan Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak 44.3 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada jam 2.57 petang, 1 November lalu.

Mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut sebanyak 5.2 tan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Tertuduh diwakili peguam bela Muhammad Syahri Adnan dan Muhammad Fitri Mokhtar daripada Tetuan Rafaei & Co.

Sementara itu Huynh Van Khang pula, didakwa gagal memberitahu seorang pegawai berkuasa melalui radio, teleks atau faksimili dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu mengenai nama, negara, lokasi jalan dan destinasi kapal berkenaan, jenis dan amaun ikan yang dibawa selain keadaan vesel itu yang memasuki perairan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jarak 108.5 batu nautika dari Kuala Terengganu, pada jam 11.20 pagi,4 Oktober lalu.

Mahkamah turut memerintahkan vesel, peralatan komunikasi dan navigasi berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan laut sebanyak 5 tan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Mohamad Afiq Taqiudin Roslan sementara tertuduh diwakili peguam bela Suhaimi Ismail.

Terdahulu, sebelum mahkamah membuat keputusan, pihak pendakwaan dan peguam bela bagi kedua-dua tertuduh berhujah lebih sejam mengenai perintah lucuthak.

Pihak pendakwaan memohon mahkamah memerintahkan lucuthak kesemua aset termasuk vesel dengan memberi alasan kes pencerobohan nelayan asing ke perairan negara terlampau banyak sejak kebelakangan ini sebelum mahkamah bersetuju.