Isteri cedera gara-gara gergaji

Gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud
Gambar kecil: Mohd Adli Mat Daud
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang lelaki tergamak membaling besi penyidai baju ke arah isterinya yang bertanyakan wang hasil gadaian gergaji sehingga mengakibatkan kecederaan kepada wanita itu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7 pagi semalam selepas mangsa yang berusia 38 tahun itu bertanyakan hasil menggadai gergaji yang dilakukan tanpa pengetahuannya.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, lelaki yang berusia 39 tahun itu naik berang menyebabkan berlaku perselisihan faham antara pasangan itu.

“Suspek kemudian membaling barang-barang yang ada di dalam rumah sebelum mencapai besi penyidai baju lalu membalingnya sehingga terkena tangan mangsa.

“Sebelum ini kerap berlaku pertengkaran antara mereka kerana suspek dipercayai penagih dadah dan tidak mempunyai kerja tetap menyebabkan lelaki itu selalu meminta wang daripada isterinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Mohd Adli, mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang kerana bimbangkan keselamatannya.

Katanya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

Artikel Berkaitan: